DSC_0607

“Kenapa tidak angkat telefon? Saya malas menaip sms. Jemari pedih.” Itu mesej ringkas saya kepada seorang kawan penulis yang tidak mahu menjawab panggilan telefon saya.

Dia tidak petah bercakap. Jadi, dia segan. Itu katanya.

Dan bual-bual kami menerusi sms selama ini tentang puisi, tentang kata, tentang dunia, yang nampaknya sangat mendekatkan kami, rupa-rupanya hanya untuk acara itu. Acara bertukar pendapat dan kongsi idea. Selain itu, kami tetap manusia, yang punya beza laku dan cara.

Sekurang-kurangnya, dia sudi menjadi teman bincang puisi saya.

Saya sepatutnya bersyukur dan bukannya sibuk mempertikai tingkahnya yang sehingga kini masih tidak mahu mengangkat telefon selepas kali pertama dan kali terakhir kami bercakap baru-baru ini.

Cerita kita sama untuk berkarya, walaupun laku kita punya cerita yang berbeza.

KOMA

Hari ini, ada majlis yang saya hadiri. Majlis rasmi pejabat. Ada makan-makan. Ada penyampaian sijil dan segalanya.

Seperti biasa, saya mengambil gambar untuk tujuan berita dan arkib. Ada beberapa wartawan dan jurugambar turut menjalankan tugas masing-masing.

Semasa mahu mengambil gambar di pentas utama, sudut pandang kami terganggu, dan beberapa babak tidak dapat dirakam. Saya gelisah. Saya tanyakan pada rakan jurugambar yang lain sama ada mereka dapat merakamkan detik yang saya tertinggal tadi.

Mereka kata, mereka tidak rasa ralat sangat kerana mereka cuma perlu sekeping dua gambar untuk dimasukkan dalam berita. Jadinya, hal gangguan pada sudut pandang kami tadi tidak beri kesan kepada mereka.

Saya, perlu mengambil gambar setiap babak. Dan gangguan itu benar-benar menjengkelkan.

Sesiapapun kamu, lain kali bila berada di pentas, sila jangan membelakangkan tetamu. Tidak manis bila tetamu menonton bahagian belakang kamu [baca : punggung]. Paling penting, maaflah, gambar kamu tidak akan dirakam dalam keadaan begitu.

Saya juga lupa yang saya, jurugambar, diberi lesen untuk meminta ‘subjek’ memberi kerjasama.

“Kamu boleh panggil dan meminta mereka menghadap kamera,” kata rakan wartawan itu.

Rakan wartawan dan mereka yang  berada di pentas tadi, cerita kita memang tidak sama. Saya perlu ambil gambar semua babak. Rakan wartawan hanya perlu sekeping dua gambar untuk berita.

Dan kamu yang berada di pentas, mungkin punya cerita sendiri. Mungkin teruja dengan pengiktirafan sijil dan teruja berada di pentas dengan pemimpin negara itu, sehingga terlupa memandang kamera yang mahu merakam detik itu.

Cerita ini menjadi pengajaran buat saya agar lebih agresif selepas ini.

KOMA

DSC_0720

Bertemu Puan Nisah Haron di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau mahu menyerahkan sesuatu kepada saya begitu juga saya mahu menyerahkan sesuatu buat beliau. Kad Ahli Seumur Hidup Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan cd gambar bertukar tangan.

Terima kasih kerana membelikan buku Nyanyi Sunyi – Amir Hamzah buat saya. Bermakna amat.

Saya terus naik ke atas untuk menghadiri Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arenawati. Katanya, pembentangan kertas kerja hari ini sangat menarik. Saya terlepas semua itu. Tapi tidak mengapa, esok masih ada bukan?

DSC_0711

Saya hanya sempat mendengar pembentangan kertas kerja “Kutukan dari Langit dalam Tinjauan Teori Teksdealisme” oleh Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana). Kagum dengan pemikiran Arenawati dalam menghasilkan karya ‘Kutukan Dari Langit’. Cerita Allahyarham Pak Arenawati dengan saya mungin tidak sama. Ya, tidak sama. Namun, keinginan menjadi penulis seperti beliau amat saya impikan.

KOMA

DSC_0715

“Saya baharu sahaja betulkan bahagian belakang kereta saya yang dilanggar minggu lepas. Tidaklah mahal sangat. Kamu, bila mahu betulkan kecederaan bahagian belakang kereta kamu?” tanya seorang kawan melalui telefon.

“Saya baharu sahaja mencederakan bahagian belakang kereta saya. Kali ke enam,” jawab saya.

Ya, kelalaian sendiri dan mungkin juga ‘sumbangan’ tempat meletak kereta DBP yang agak pelik itu, menyebabkan kereta saya yang tidak begitu disayangi itu, telah tercedera untuk kesekian kalinya.

Cerita kita beza kawan!

Advertisements