Babak ini merupakan antara babak yang tak mungkin dilupakan oleh peminat filem-filem P.Ramlee.

Mana mungkin lupa, P.Ramlee membawa kebijaksanaannya dalam merungkai persoalan jiwa manusia yang sangat baik.

Saya kira, saya tidak akan bertindak seperti Cik Salmah jika saya marah.

Paling jahat, saya akan gunakan kata-kata berunsur sinisme dan sarkastik.

Paling baik saya diam sahaja.

Dan diam bukan beerti setuju kawan!

KOMA

Saya terfikir, mengapa Sarip Dol suka mengganggu Cik Salmah walaupun jelas, Cik Salmah tidak suka kepadanya. Saya kira Sarip Dol tahu akan hal itu.

Mungkinkah Sarip Dol terlalu ‘bengap’ membaca perilaku Cik Salmah yang jelas-jelas membenci beliau?

Atau Cik Salmah terlalu sopan dan beradab dalam usaha mengelak gangguan Sarip Dol?

Marah Cik Salmah tidak cukup marah. Jelingan Cik Salmah belum cukup tajam. Kata-kata Cik Salmah tidak membahang berapi.

Perlukah Cik Salmah menolak didikan ibunya bahawa orang Melayu terutama wanita, harus menjaga adab tutur, supaya Sarip Dol faham yang Cik Samah betul-betul tidak suka kepadanya?

Dan Sarip Dol pula, harus faham jati diri wanita Melayu yang menolak sesuatu dengan hemah dan adab.

Mungkin juga Sarip Dol bukan berketurunan Melayu.

KOMA

Tidak ‘faham bahasa’ bukan dari segi harfiahnya atau literalnya.

Faham bahasa bukan sahaja memahami bahasa yang dituturkan tetapi juga memahami budaya penutur, perangai dan tingkahlaku penutur yang menuturkannya.

Saya kira babak antara Cik Salmah dan Sarip Dol adalah satu kritikan yang ringkas terhadap manusia Melayu seperti Cik Salmah yang tidak mengekspresikan kemarahannya dan kebenciannya secara jelas akibat didikan ‘kesopanan dan kesusilaan’ yang telah ditanam di dalam jiwa halus Melayunya.

Saya kira  Sarip Dol merupakan wakil golongan manusia yang tidak faham bahasa.

Jika ada selain itu, sila maklumkan saya.

KOMA

Saya fikir, kamu tentu faham mengapa kadang kita harus menidakkan adab dan sopan terutama berhadapan dengan orang yang tidak faham bahasa.

Saya bukan Cik Salmah.

Dan saya harap kamu jangan seperti Sarip Dol.

Mual.