DSC_0102

Gambar-gambar yang lain boleh dilihat Facebook saya.

140 hingga 160 km/j. Seremban ke Melaka.

Mungkin boleh dipujuk rasa ‘terbang melayang’ itu dengan dendangan muzik gamelan dari Sunda yang diiringi bunyian air dan burung berkicauan.

Pemandu mempunyai platform yang baik iaitu lebuh raya yang baik turapannya dan tidak sesak seperti lebuhraya Kuala Lumpur.

Pemandu juga punya tiket yang baik iaitu lesen memandu.

Saya kira kisah di atas mampu menjelaskan serba sedikit konsep platform dan tiket.

KOMA

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 yang dihadiri baru-baru ini sangat terkesan kepada saya sehingga saya menyesal tidak sudah dengan keengganan membawa lap top ke sana. Jika tidak pastinya entri blog saya sejak hari Jumaat yang lepas dipenuhi idea baru tentang perhimpunan ini.

Banyak perkara berlaku selama 3 hari berkampung di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka itu.

Seperti biasa, bertemu dengan penulis muda dan mapan, membeli buku [lagi], mendengar pembentangan kertas kerja dan menikmati perbincangan yang mencabar minda.

Pemilihan tajuk perbincangan dan kertas kerja amat bertepatan dengan tema perhimpunan kali ini iaitu “Perjuangan penulis Muda : Arah dan Cabaran”. Jadinya pelbagai isu tentang pemikiran, teori, arah tuju, cabaran dan isu bahasa (baca: PPSMI) dihujahkan. Juga terlibat sama hal kepimpinan dan sistem pendidikan.

Cuma beberapa perkara yang saya lihat amat tidak cantik dan tidak ranum untuk diperkatakan.

Pertama, persatuan penulis bukanlah satu tiket untuk kita berasa megah di dalamnya. Persatuan penulis hanyalah platform yang baik untuk kita belajar dan belajar. Dan ia bukan tiket untuk kita membangga diri dan lantang bersuara tanpa berfikir.

Berkarya dengan bebas melalui idea dan kepompong yang pecah [idea yang tidak terkongkong] serta menyebarkan karya itu di dalam medium yang pelbagai, itulah yang saya fahami melalui kertas kerja Saudara Ariff Muhammad.

Sila baca kertas kerja beliau di muka surat ke 10 melalui tajuk kecil, ‘seseorang penulis seharusnya…’. Baca item nombor 4.

Keduanya, sebelum bertanya soalan kepada panel, sebaiknya pendengar memberi perhatian sebaiknya agar tidak wujud pertanyaan yang ‘salah faham’ dan prejudis sehingga menutup peluang soalan yang lebih bernas diajukan.

Peserta [baca : penulis dan wartawan] merupakan platform yang baik untuk bertanya soalan kepada panel pembentang atas dasar ketidakfahaman dan mohon penjelasan lebih lanjut. Tetapi, saya fikir peserta tidak boleh gunakan tiket kebebasan bertanya itu dengan sewenang jika diselaputi emosi dan ‘latahan’ yang memanjang.

Ketiga, panel pembentang adalah platform terbaik untuk menyebarluas ilmu dan pengetahuan yang dimiliki. Dan saya kira panel pembentang tidak pernah diberi tiket untuk tidak menjawab soalan.

Jadinya, konsep platform dan tiket yang saya jelaskan di ‘koma’ kedua ini diharap betul dan difahami oleh pembaca.

InsyaAllah, saya akan menulis lagi tentang hal ini kemudian nanti.

KOMA

Ada satu perkara yang saya temui dalam seminar kali ini iaitu orang yang bijaksana tidak akan menguar-uarkan kebijaksanaannya dalam apa jua bentuk terutama percakapan.

Juga, bercakap tanpa berfikir tidak bagus untuk menjaga air muka.

Sekarang saya faham, mengapa ramai penulis lama dan mapan mempunyai sifat pendiam. Diam mereka berisi rupanya. Menjawab bila ditanya, itupun sepatah-sepatah dan bercakap dengan fikir yang panjang.

Mari kita sama-sama belajar wahai penulis muda.

Advertisements