loveu

“Saya tidak mahu bercakap kerana ada orang yang tidak mahu mendengar,” kata seorang ahli panel yang kami jemput dalam satu seminar yang diadakan baru-baru ini.

Dan ‘makcik’ yang berdua itu, terus bercakap-cakap sedangkan pada waktu itu mereka sepatutnya mendengar kerana ada orang lain yang telah diamanahkan untuk bercakap-cakap.

Bercakap dan mendengar merupakan aspek penting dalam komunikasi yang berkesan.

Jika kamu tidak mendengar, makanya kamu tidak akan dapat apa-apa daripada apa yang dicakapkan oleh orang lain. Malahan, mungkin sikap kamu yang tidak mahu mendengar malah bercakap-cakap pula, akan menggangu orang lain yang mahu mendengar apa yang dicakapkan oleh panel penceramah.

KOMA

Setiap orang pandai berkata-kata selagi dia tidak bisu. Berkata-kata demi mempertahan pendirian, demi menjelaskan sesuatu, memberitahu kepada yang tidak tahu dan macam-macam tujuan lain.

Ada juga yang suka berkata-kata demi menunjukkan bahawa dia lebih pintar daripada mereka yang mendengar. Berkata-kata demi memperlihatkan kebijaksanaan agar dipandang lebih tinggi darjatnya daripada yang ada di sekelilingnya.

Ada yang berkata-kata dengan percuma. Bersedekah ilmu dan pengetahuan yang ada.

Ada juga yang berkata-kata untuk dibayar. Mahu tahu? Bayar dahulu…

Pendek kata, setiap orang yang tidak bisu akan berkata-kata apa sahaja atas tujuan yang tersendiri dan dengan cara tersendiri.

Tetapi, berapa ramai yang suka mendengar daripada bercakap?

KOMA

Ada yang tidak puas hati dengan industri perfileman dan industri hiburan tanah air.

Katanya, industri hiburan kita terlalu membosankan dan tidak menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berbudaya tinggi. Artis kita tidak bagus dan tidak berkualiti. Drama dan filem kita tidak asli dan tidak boleh diangkat sebagai karya yang membanggakan.

Jadinya, apa usaha kita untuk memperbaiki situasi yang kita ‘kata-katakan’ tadi? Dan kepada siapa harus kita dengarkan hal ini?

Kita cuba hasilkan skrip filem dan drama yang baik? Kita cuba memikirkan satu medium terbaik untuk mengawal tingkahlaku artis-artis kita yang mencemar budaya dan bangsa? Atau kita akan mengeluarkan dana berpuluh juta untuk hasilkan filem-filem yang sama darjatnya dengan filem antarabangsa?

Ada yang menyampah sangat dengan industri penerbitan dan penulisan buku di negara kita.

Maka katanya penulis kita tidak berani memecah tembok kebiasaan. Penulis kita tidak banyak berfikir dan hanya mahu menulis hal-hal biasa. Penulis kita malas mengkaji. Penulis kita sombong dan itu ini lagi.

Jadinya, adakah kamu sertakan sekali resolusi yang terbaik untuk ‘mengajar’ penulis kita agar menulis hal-hal yang besar-besar dan menulis hal-hal yang lain dari yang lain sehingga apabila kamu membaca atau menghayati karya penulis itu kamu akan kata, ‘wow’?

Ada yang sangat benci dengan percaturan politik negara sehingga apabila menyebut nama para pemimpin yang tidak digemari, maka akan terkeluar ayat-ayat yang tidak manis malah sangat ‘payau’ sehinggakan tanpa berfikir dan meneliti secara panjang lebar, kesemua pemimpin negara akan dilabel dengan label yang sama iaitu pemimpin ‘kotor’.

Ada yang menepuk dahi lantas berkata-kata lagi tentang kebobrokan dan kebejatan tingkahlaku remaja masa kini yang katanya sangat tidak beradab, kehilangan jatidiri dan identiti serta macam-macam lagi.

Jadinya, apa peranan kamu, sebagai masyarakat yang prihatin akan hal ini? Ataupun sebagai pihak yang sepatutnya mendengar permasalahan yang dicakap-cakapkan ini?

Jadinya, mulut yang bersifat untuk bercakap ini, akan digunakan sebaiknya dan tidak sebaiknya untuk meluah rasa hati dan melontar segala fikiran.

Bercakaplah selagi kamu mampu. Bercakap yang baik-baik sahaja. Baik-baik sahaja.

Bagi pihak yang sepatutnya mendengar pula, dengarlah baik-baik. Baik-baik.

KOMA

“Kenapa senyap?” tanya saya.

” Sedang makan,” katanya.

“Ooo…jadinya, mulut juga digunakan untuk makan?” kata saya.

“Iye, bercakap dan makan. Bercakap untuk kenyangkan perasaan. Dan makan untuk kenyangkan perut. Tapi dua-dua fungsi itu mesti yang baik-baik. Bercakap yang baik dan makan yang baik,” katanya lagi.

Ok bos!

Advertisements