DSC_0798

Hari ini, Hari Jururawat Sedunia. Itupun saya tahu dari saluran radio Sinar FM.

Tapi entah kenapa, jururawat yang saya temui hari ini tidak langsung tersenyum tanda bangga dengan kerjaya mereka.

Jadinya, saya tinggalkan klinik panel itu dengan ubat dan slip cuti kecemasan.

Waktu ini saya tidak menangis walaupun berkali-kali berjumpa dengan doktor ini dan jururawat klinik ini yang lokek dengan senyuman.

Semoga demam ini kebah segera.

Penat dengan demam.

KOMA

Badan saya semakin panas. Tekak pula semakin pedih walau dua papan pil hijau seperti gula-gula Polo itu telah saya hisap.

Tidak mengapa. Mungkin badan saya benar-benar letih dan mahukan rehat yang cukup. Dan ‘hapus dosa’ yang telah saya buat.

Saya kira pada hari pertama demam, dengan meninggalkan novel berat saya akan mampu merehatkan minda. Rupanya tidak. Bukan novel berat yang melelahkan lagi demam itu. Tapi saya rasa memang badan saya dan mental saya lemah.

Jadinya semalam dan hari ini, saya ‘layan’ hal-hal yang berat ketika berada di rumah.

KOMA

Semalam saya menonton filem 1200 Degrees. Mungkin ini filem lama sebab ditayangkan di saluran Astro. Tentang dunia perundangan, penyiasatan dan konflik di antara manusia dan undang-undang.

Saya menangis ketika trem yang terkandas di dalam terowong tidak dapat di selamatkan. Dr. Sabine Fink juga membawa wataknya dengan cermat dan comel. Saya suka bila ada skrip tentang falsafah kemanusiaan dipaparkan. Katanya, kemanusiaan bermakna, manusia tidak akan terkorban untuk satu-satu perkara. Jadi, manusia boleh menentang undang-undang yang kebanyakkannya memenangkan dan melindungi pihak tertentu.

Dan hal ini saya temui juga di dalam novel Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun Hashim yang saya kira karyanya itu banyak memperkatakan dan menyindir isu semasa yang menyebabkan orang Kuala Lumpur banyak yang berpenyakit mental [jika kamu perasan dan jika kamu tegar mengikut perkembangan terkini dunia politik dan birokrasi di negara kita].

Selepas filem 1200 Degrees, ada filem Bukit Kepong bakal dihidangkan. Oh, saya tidak sanggup melihat filem itu yang saya rasa akan menjadi trauma yang panjang buat saya seperti zaman-zaman sekolah dahulu.

Tangis saya seka, cuba mengemas rumah dan cuba melawan rasa lelah.

KOMA

Hari ini, saya menangis lagi. Bukan hal doktor yang tidak mesra pesakit tadi dan err…saya kira ubat batuk saya mungkin tersilap kerana ia berwarna merah dan seperti ubat batuk kanak-kanak sahaja. Tidak mengapalah, doktor kan lagi bijak daripada pesakit. Telan sahaja.

Menonton Oprah, dan membaca Kacip rupanya boleh merangsang mental yang sedang sakit.

Oprah dengan topik yang agak menarik iaitu, “bagaimana anda menangani usia 40, 50 dan 60 tahun”. Pengurusan mental di Barat saya lihat sangat baik dengan adanya siri Oprah yang banyak memberi input yang baik dalam pelbagai hal.

Pelbagai kisah yang membawa tangis bukan sahaja kepada mereka yang di dalam televisyen itu, malah saya yang menonton juga turut menangis merasai keperitan dan kemanisan dalam menangani hidup yang hanya sekali ini. Adakah kerana saya perempuan?

Bayangkan, seorang pensyarah yang mempunyai 7 orang anak akhirnya menemui ‘hidup’nya semasa usia 47 tahun iaitu bermain muzik. Tidak terlupakan seorang akauntan yang berjaya akhirnya beralih arah dengan perniagaan coklatnya pada usia 54 tahun.

Saya kira Pipiyapong juga begitu. Berkenaan hal pencarian hidup, bertukar-tukar kerja dan pengalaman-pengalaman yang jika dilihat sekali imbas sangat ringan, tetapi sebenarnya tidak.

Membaca halaman-halaman awal Kacip saya kira buku blognya itu bukanlah cebisan perasaan dan luahan yang ringan. Saya menangis membaca beberapa kisah yang saya kira kita selalu lupa dan buat-buat lupa tentang kesusahan masa lalu yang banyak mematangkan kita pada hari ini. Tentang kisah Bob, tentang Kuala Lumpur dan diri penulis serta pengalaman-pegalaman kerjanya.

Saya kira, saya tarik balik kata-kata yang menyebut harga RM20 tidak berbaloi dengan buku yang nipis itu dan penulisnya yang terkedu ketika diminta menurunkan tandatangan. Saya kira terkedu dan terkial-kial itu adalah kesan pengalaman hidupnya yang lampau.

Baru baca sehingga mukasurat 63. Jadinya tidak boleh ulas lebih-lebih.


Advertisements