l1

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’, anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bertujuan mempererat silaturahim dalam keluarga tidak mendapat sambutan malahan kritikan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Kempen itu dikatakan tidak berkesan kerana televisyen bukanlah penyebab yang kuat terjadinya jurang antara ahli keluarga.

FOMCA dikatakan melancarkan kempen tersebut untuk menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama-sama dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama-sama.

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’ itu juga dilihat menjadi salah satu kempen yang boleh memberi kesan kepada sistem kekeluargaan berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Pusat Informasi Pemakanan Asia (AFIC) yang menunjukkan 30 peratus kanak-kanak di negara ini menghidapi masalah obesiti kerana menghabiskan masa lapan jam sehari menonton televisyen dan bermain komputer.

Di samping itu, individu yang banyak menonton televisyen juga akan mewujudkan sikap suka menyendiri, dan tidak banyak melakukan aktiviti fizikal.

Benar, menonton televisyen terlalu lama boleh mengundang pelbagai kesan yang negatif kepada individu seperti yang diketengahkan oleh kajian tersebut. Namun, dalam era globalisasi dan teknologi yang semakin berkembang, tidak menonton televisyen adalah satu usul yang tidak begitu berkesan dalam usaha mengeratkan silaturahim dalam keluarga.
KOMA

Televisyen boleh menjadi medium terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dengan syarat tertentu. Antaranya, ibu bapa harus memantau jadual menonton televisyen di rumah. Berapa jam harus dihadkan serta program televisyen apa yang harus ditonton atau dihindar.

Selain itu, dalam usaha mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga, sebaiknya sesebuah program televisyen itu di tonton bersama serta mempunyai aktiviti atau proses pembelajaran iaitu mengambil tahu, menghayati dan mengamalkan.

Di sini sudah pasti proses soal jawab antara anak dengan ibu bapa akan berlaku.

Komunikasi yang berlaku ini merupakan satu cara paling berkesan untuk ibu bapa mendekati dan mengenali potensi serta tingkah laku anak-anak.

Dengan komunikasi ini juga memberitahu kepada anak-anak bahawa ibu-bapa merupakan orang yang boleh diharapkan untuk mereka belajar dan mengetahui sesuatu hal yang baharu.

Selain itu, persekitaran semasa menonton televisyen juga perlu diambil kira seperti makanan dan minuman yang dihidangkan serta kedudukan televisyen di dalam rumah. Hal ini turut berkait rapat dengan faktor ‘perasaan’ (mood) yang bakal mempengaruhi tingkah laku seseorang serta melibatkan hal kesihatan.

Contohnya, kedudukan cahaya yang boleh merosakkan mata dan cara duduk atau berbaring semasa menonton yang boleh mempengaruhi kesihatan tulang belakang.

Baca selengkapnya DI SINI

Advertisements