2

“Stor mereka jauh daripada tempat mereka berjualan. Tidak penatkah?” tanya saya kepada teman yang menemani saya mengembalikan ‘rasa’ untuk mengambil gambar itu.

“Mahu hidup, tidak mengapa susah sedikit.” Itulah lebih kurang jawapan yang saya terima daripada dia yang lebih banyak ‘makan’ garam daripada saya.

KOMA

Mengambil gambar sekitar Jalan Petaling, lorong belakang, Jalan Panggong, Tokong Yap Ah Loy, tokong atas bukit, Pasar Seni dan  The Annexe, melihat pelbagai rencah kehidupan tidak mengira bangsa apapun. Cukup memberi erti.

Semua mahu hidup dengan cara tersendiri. Melihat mereka berjualan, memunggah barang, menyusun barangan, memerhati pelanggan, dan sebagainya menunjukkan masing-masing punya peranan untuk meneruskan hidup.

Saya pernah pertikai sesuatu apabila melihat seorang dua orang mak nyah di sebuah lorong, ‘mempamer’ diri walaupun di siang hari. Apa yang berlegar di kepala bukanlah hal kesukaran hidup mak nyah tersebut. Saya kira saya bukanlah orang yang boleh ‘berlembut hati’ jika mahu memperkatakan tentang ‘kekecualian’ terhadap kehidupan mak nyah di dunia ini. Saya pertikaikan penguatkuasaan.

Kata jejaka, “semua mahu hidup.”

Saya kurang arif tentang kata-katanya.

Jejaka menjelaskan lagi. Mak nyah,  yang melakukan kerja sebegitu seharusnya boleh dikurangkan atau sebaiknya ‘dihilangkan’ dengan cara penguatkuasaan yang telus. Tetapi ia tidak berlaku. Kerana apa? Kerana masing-masing mahu hidup.

Kamu mak nyah mahu hidup, jadi kamu laksanakan kerja sebegitu walaupun kamu tahu, Tuhan beri akal untuk kamu berusaha dengan cara yang lebih baik. Kamu mak nyah, tahu cara mahu hidup tetapi salah dalam cara mahu hidup. Maka, cara yang salah itu terkait dengan hal yang lain. Kamu, mungkin di desak atau dengan rela memberi wang perlindungan kepada segelintir encik-encik yang menjalankan hal-hal penguatkuasaan agar kamu selamat dan mereka juga kenyang. Jadi, masing-masing hidup bukan?

Saya faham.

KOMA

Jika umur saya panjang, mungkin lagi 5 tahun, atau 10 tahun dan mungkin juga lebih, saya akan mengucap syukur pada Tuhan dan dalam masa yang sama merasa sedikit gerun dan bimbang.

Syukur jika saya memilih jalan hidup yang mengikut landasan. Makanya, hidup selama 5 tahun lagi, mahupun sepuluh tahun atau lebih daripada itu, akan jadi sebuah kehidupan yang bermakna. Untuk hidup yang hanya sekali.

Gerun dan bimbang apabila memikirkan umur yang panjang tetapi akal menjadi kacau-bilau sehingga tersia-sia dengan hal yang tidak sepatutnya. Apa guna hidup bukan?

Advertisements