buku

“Pergi Pesta Buku lagi tak?” tanya saya kepada seorang teman penulis yang menemani saya ke Pesta Buku pagi tadi.

Dia menjawab, katanya dia akan pergi pada hari Ahad ini.

Jadi, saya memohon padanya agar dia dapat membelikan sebuah dua buku lagi untuk saya.

Dan saya terlupa sudah berapa banyak buku yang saya beli, buku yang telah di baca, buku yang berada di meja pejabat, di dalam kereta dan dipinjamkan kepada kawan-kawan.

Sudah tiba masanya, mungkin untuk membuat senarai buku yang saya miliki. Supaya senang untuk dijilidkan apabila impian memiliki sebuah ruang sebagai perpustakaan akan terlaksana kelak.

Masih ada yang tertinggal rupanya dalam mencari kepuasan memiliki buku yang bakal memberi kesan dalam perjalanan hidup saya.

KOMA

Ketupat Cinta – Faisal Tehrani (Ameen Kreatif)

Panggil Aku Melaju – Rahmat Haroun Hashim (DBP)

Yakjuj dan Makjuj, Bencana Di Sebalik Gunung – Wisnu Sosongko @ Muhammad Alexander (PTS Islamika)

Tiga telah dimiliki.

Satu lagi yang berjudul, Tahun-Tahun Yang Dinanti oleh Fumiko Enchi (DBP) telah dibeli melalui seorang kawan yang bekerja di Syarikat D [katanya]. Tetapi masih belum berada di tangan saya.

Kamus Sinonim – kata seorang teman, saya perlu memiliki kamus ini untuk memperkaya kosa kata Bahasa Melayu saya. Terutama untuk pembinaan sebuah puisi yang memerlukan gaya bahasa dan diksi yang menarik dan indah. Tetapi kamus ini tidak di temui di booth Utusan Publication. Katanya sudah kehabisan stok. Jadinya,di mana harus saya cari kamus ini?

Dan ada beberapa buah buku lagi yang perlu saya beli setelah melihat senarai buku yang dibeli oleh kawan-kawan.

Itulah, bukankah sudah diingatkan, usah berlama-lama di Pesta Buku. Sudahnya, asyik rasa banyak yang tertinggal.

KOMA

Saya rasa tidak berapa seronok dengan Pesta Buku Antarabangsa 2009 kali ini. Mungkin dengan ruang legarnya yang agak sempit dan terhad, tidak seperti tahun lepas.

Mungkin juga terasa lebih semak dengan booth ‘menjual’ bahasa Inggeris dan  segala macam ‘jualan’ yang memaksa kita berhenti dan mendengar mereka mengulang skrip meminta kita membeli ‘ilmu’ mereka.

Ya, ada yang tertinggal sehingga kamera yang disandang juga tidak bernafsu merakam gambar bersama penulis-penulis ataupun khalayak pembaca yang memenuhi ruang.

KOMA

kereta

Ada yang tertinggal, mungkin semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, sehingga kereta saya ditimpa kemalangan kali ke…errr… kali ke lima mungkin.

Ada yang tertinggal. Doa menaiki kenderaan atau ingatan Tuhan terhadap beberapa kelalaian saya hari ini.