cawan

Ketika sedang duduk-duduk, buat teh o dan menikmati filem yang boleh membangkitkan semangat, kononnya.

Tonton  Transformers.

Apa kes kereta boleh bertukar menjadi robot pula?

Dan buku-buku yang dibeli sepanjang tahun 2008, ada lebih kurang 11 buah masih belum berbaca.

Bosannya!

KOMA

Dahulu, semasa di kampung Batu Pahat, kami selalu duduk-duduk di bawah pangkin berteduhkan pohon mangga yang kerap berbuah tanpa musim. Sebelah pohon mangga ada pohon mangga lagi. Berderet tiga pohon mangga yang kalau serentak berbuahnya, maka kami kembung buah mangga.

Buah mangga itu tidak pernah dibuat jeruk kerana kami lebih suka makan buah mangga bercicah cili api campur kicap. Ada gula sedikit untuk mereka yang tidak tahan pedas.

Kami bawa semua buku cerita yang ada. Dan selalunya buku cerita yang dibawa tidak mencukupi kerana membaca buku beramai-ramai sangat seronok. Banyak idea dan cerita boleh dijana.

Itu saya dan mereka, sepupu-sepupu yang suatu waktu dahulu cukup akrab. Pengikat kami adalah buku dan buah mangga.

Kata Angah, ketika duduk-duduk, baca buku lebih seronok daripada menonton televisyen.

Kata Yana, dia mahu menulis satu cerita tentang rasa buah mangga  yang sangat nikmat dimakan ketika bersahabat dan membaca buku beramai-ramai. Kerana ketika seorang diri, rasanya lain. Tidak nikmat.

Saya tanya Yana, siapa yang mahu baca buku tentang pengalaman makan mangga?

KOMA

Lalu, ketika sedang duduk-duduk begini, saya harap dapat bersama mereka meratah mangga muda bercicah kicap yang dicampur dengan cili api dan sedikit gula sambil membaca buku-buku saya yang rajin dibeli tetapi tiada masa mahu membacanya.

Saya juga mahu menulis tentang rasa buah mangga  yang sangat nikmat dimakan ketika bersahabat. Kerana ketika seorang diri, rasanya lain. Tidak nikmat.

Tetapi saya fikir dan teringat semula pertanyaan saya kepada Yana – siapa yang mahu baca tentang pengalaman makan mangga?

Jadinya, biarlah saya tulis di dalam diari sahaja.Tetapi saya lupa bagaimana nikmatnya makan mangga sambil membaca buku.

Maka, saya menulis surat kepada Yana, mengatakan saya kehilangan rasa nikmat membaca buku dan makan mangga. Surat itu tidak panjang dan bertandatangan saya – Seorang perempuan yang memakai kasut tumit tinggi ketika memandu kereta, dan tahun ini  telah diingatkan supaya membeli hanya lima buah buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kerana buku yang dibeli tahun lepas masih banyak yang tidak berbaca.

Alasan “membaca seorang diri tanpa teman dan buah mangga sangat tidak seronok” juga tidak masuk akal!

[Ketika sedang duduk-duduk tanpa tujuan, banyak perkara ‘entah apa-apa’ akan menyinggah. Contohnya merepek-repek seperti sekarang ini.]

bannerpestabuku2

Advertisements