sun

Saya memang jarang demam. Kata doktor, sakit yang utama itu telah mendominasi tubuh saya sehingga saya akan berhadapan dengan sakit itu sahaja. Demam, mungkin jarang.

Tetapi, sejak hari Khamis yang lalu saya diserang demam yang agak serius sehingga tidak berdaya untuk melakukan apa-apa tugas. Berlanjutan sehingga hari Jumaat. Mujurlah, ketika Bengkel Penulisan Puisi anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan di Seremban hari Sabtu lepas, saya pulih sedikit. Maka, saya dapat mengikuti segala yang dikongsikan di sana.

Namun, tamat sahaja bengkel tersebut kepala mula berdenyut kembali, berpinar dan badan pula sakit-sakit. Sudahnya saya menghabiskan hari Ahad dengan berbaring sahaja.

Kata seorang teman, sakit yang diberi adalah bertujuan untuk menghapus dosa. Membersihkan diri dan muhasabah diri. Sakit pada tubuh badan umpama menyusunatur [format] semula sistem badan. Secara rohaniah dan jasmaniah.

Sebenarnya, ketika ini, saat ini, diri saya masih belum selesai diformat. Masih ada bahagian dan ruang yang perlu disusun atur semula.

Terasa diri benar-benar kerdil.

KOMA

bengkel1

Gambar diambil oleh Puan Nisah

Bengkel Penulisan Puisi yang dihadiri baru-baru ini, benar-benar memberi manfaat walaupun saya sebenarnya belum bersedia untuk menghasilkan puisi [sajak] secara serius. Minat memang ada.

Mengambil tema “Keunikan Budaya Pemantap Insan Mulia”, saya percaya ianya sangat bertepatan kerana dengan budaya bangsa yang unik inilah menghasilkan kita yang ‘kita’. Bukan kita yang ‘mereka’.

Paparan tentang sejarah dan serba sedikit tentang adat budaya Negeri Sembilan membuatkan saya sangat teruja mahu menerokanya. Bukan bermakna saya mengenepikan adat budaya Negeri Johor [saya lahir di Johor], tetapi keunikan Negeri Sembilan memang tersendiri melalui dialeknya, perbilangannya, adat perpatihnya dan banyak lagi.

Dan kami dicabar untuk menghasilkan sebanyak mana sajak tentang adat budaya Negeri Sembilan sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11 dan Ulangtahun PEN ke 40.

Melihat semangat rakan-rakan yang mentafsir sajak demi sajak, terasa diri saya sangat kerdil. Kerana di situ, saya hanya terkebil-kebil mengingati sajak-sajak yang saya hasilkan dan paparkan dalam blog  yang sebenarnya tidaklah seindah mana tetapi dengan bangga [syok sendiri] saya paparkan dalam blog saya ini.

Ya, diri tetap kerdil di sini.

KOMA

Alhamdulillah, penyertaan saya ke bengkel ini rupanya punya hikmah tersendiri. Tiada yang menggembirakan hati apabila bertemu dengan guru sekolah rendah yang hampir berbelas tahun tidak bertemu.

Cikgu Kamarudin Muda yang masih segak juga agak terkejut [mungkin], apabila saya menyapanya. Saya masih ingat nama cikgu kerana cikgu pernah ‘mendera’ saya sehingga saya menangis suatu waktu dahulu. Ia manis cikgu. Terima kasih atas ‘Bahasa Melayu’ yang cikgu tanamkan dalam jiwa saya ketika itu.

Apabila mengingati sumbangan dan jasa cikgu, terasa diri saya begitu kerdil. Sumbangan yang manakah yang mampu saya pikul untuk membantu saya di ‘sana’ kelak?

KOMA

Apabila badan sakit-sakit dan kepala mula pening-pinar, ketika tangan lelah menyatu pensel-pen atau papan kekunci, ketika itulah ilham mengejar sehingga saya jatuh tersungkur dan hanya mampu membiar idea-idea itu lari meninggalkan saya terpinga.

Dalam kepayahan mengeluarkan nota catatan, ilham berlari-lari anak meninggalkan saya sambil mengejek-ejek. Katanya, ingat lima perkara sebelum lima perkara.

Terasa diri begitu kerdil apabila nikmat upaya itu tiada.

bannerpestabuku