kambing1

“Kambing yang mana abah?” tanya saya apabila abah kata kambingnya hilang dua ekor.

“Kambing yang warna hitam,” kata abah.

“Oh, yang itu dalam penjara, akan dihukum gantung sampai mati,” jawab saya.

Abah hanya terpinga.

KOMA

Saya tidak jadi menghadiri seminar di DBP. Maaf kawan.

Memulakan hari dengan membaca akhbar atas talian, saya terpaku seketika membaca berita terkini di BERNAMA.

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibu.

Beginilah akhirnya rencana yang dibuat.

KOMA

Keputusan mahkamah mungkin noktah bagi segala-galanya.

Tetapi masih “koma”, jika dilihat kepada bicara akhir tertuduh.

PEMBELAAN DI AKHIR KES

Azilah yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.

Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan “bodoh” (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya,” katanya pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis.