bird“Kesihatan itu penting. Melebihi segala apa yang ada. Ia berkaitan nyawa. Jika kesihatan kamu abaikan, segala apa yang kamu lakukan untuk mencapai impian, tidak bermakna kawan. Tidak bermakna.”

Itu fakta bukan? Jadinya ia selalu diulangsebut oleh mereka yang bergelar doktor dan ‘bukan doktor’ [tetapi mahu menjadi ‘doktor’ terutama kepada orang lain, yang disayangi]. Mungkin.

“Saya tahu kesihatan itu penting,” jawab saya. Dengan harapan dia berhenti membebel pasal kesihatan dan hujahnya mengalahkan pelajar tahun akhir Fakulti Perubatan semasa kami menuntut di menara itu.

“Jadinya, kamu tahu yang kamu mempunyai tekanan darah yang rendah, perlu mengambil sarapan dan usah berpanas. Kamu juga tahu bukan yang kamu punya masalah dengan paru-paru?” katanya lagi sepertinya telah mengambil jurusan perubatan semester akhir di Fakulti Perubatan itu.

“Ya, saya tahu itu,” jawab saya agak bosan dengan ‘doktor’ yang tidak diiktiraf oleh mana-mana hospital ini.

“Jadinya, kenapa kamu tidak tahu apa itu CPR?”

KOMA

Saya seorang anggota Puteri Islam sejak tingkatan satu sehingga tingkatan enam atas. Kamu tahu bukan darjah satu hingga enam, ‘puteri’ itu tidak dipanggil Islam. Ia digelar Pandu Puteri.

Dalam Pandu Puteri yang saya sertai, seingat saya tiada aktiviti memberi bantuan kecemasan kepada pesakit. Begitu juga dengan Puteri Islam. Mungkin ada, tetapi waktu itu mungkin juga saya bercuti atau, err…ponteng.

“Itulah, mahu jadi ‘puteri’ sangat. Mengapa tidak jadi ‘bulan’ sahaja? Bulan sabit yang merah. Amat bermakna buat kamu yang kurang sihat.”

Itu jawabnya apabila saya katakan saya tidak tahu bagaimanakah proses CPR dijalankan. Serius.

KOMA

“CPR ialah meletak bibir atas bibir,” kata jejaka itu yang suka menghembus api.

“CPR itu menyedut mulut pesakit menggunakan mulut kita,” kata jejaka yang lain.

Dan perbualan dengan seorang jejaka yang ini, saya kira boleh digunapakai untuk mendefinisikan maksud CPR.

Dia : CPR ialah menutup hidung mangsa, dan meniupkan karbon dioksida ke dalam mulut mangsa. Kemudian dada ditekan-tekan. dan diulangi bantuan mulut ke mulut. Begitulah seterusnya sehingga mangsa sedar.

Saya : Dada perlu ditekankah? Bahagian mana?”

Dia : tentulah bukan bahagian yang lembut. Bahagian yang berdekatan jantung barangkali. Saya cuma pernah tahu teori dan lihat dalam televisyen. Buat tidak pernah sekali.

Saya : hmmm. Saya kesal tak masuk bulan sabit merah. Mana tahu dilain kali ada yang cuba buat CPR, boleh saya kategorikan sebagai ambil kesempatan atau tidak.

Dia : CPR tidak dilakukan untuk tujuan ambil kesempatan. Kerana ia satu gerakan pantas yang tiada hubungkait dengan perbuatan mengambil kesempatan. Nota: mengambil kesempatan tidak boleh dilakukan secara pantas. feel tiada.

Saya : Banyak bukan babak-babak dalam drama dan filem. CPR itu romantik apatah lagi melibatkan orang yang disayangi atau diminati.

Dia : CPR tidak romantik, tetapi dramatik. CPR  bukan mengucup bibir mangsa, sebaliknya memberikan udara yang cukup agar pernafasan yang tersekat dapat dilawaskan. Apatah lagi ia biasanya dilakukan di jalan raya, di tepi pantai, atau di tempat kejadian yang mana biasanya juga ramai orang yang mengerumuni. Tidak romantik langsung.

Saya : Makanya, tidak romantik? Terasa mahu buktikan yang CPR sebenarnya 50% mengambil kesempatan.

Dia : Romantik jika apabila mangsa tersedar, dia terus terharu dan memeluk heronya yang telah menyelamatkan nyawanya. Saat itu, orang ramai yang mengerumuni akan bertepuk tangan dan mengalirkan air mata.

KOMA

Bagaimana definisinya sekalipun, saya tidak perlukan kaedah ini untuk memulihkan keadaan saya. Ia sakit yang lain. Yang tidak perlukan bantuan pernafasan daripada manusia yang lain.

Sebab itulah agaknya saya tidak ambil kisah tentang CPR walaupun saya tahu ia penting untuk orang lain yang benar-benar memerlukannya.

Saya hanya perlu berehat.

Advertisements