kunci1

“Pantang orang dahulu jika diamati memang banyak yang mengarut. Contohnya, usah berpindah-pindah tempat ketika sedang makan, nanti kahwin ramai. Padahal tak ada kena mengena pun makan dengan kahwin,” kata seorang kawan semasa saya menuntut di menara itu suatu waktu dahulu.

“Saya rasa itu bukan mengarut. Itu undang-undang sosialisasi masyarakat zaman dahulu. Kita harus hormat selagi ia tidak bercanggah dengan syariat,” jawab saya.

Pada waktu itu kami beriringan menghantar kertas kerja yang baru disudahkan. Kertas kerja tentang pantang larang sebagai undang-undang paling berkesan dalam masyarakat Melayu. Subjek sosiobudaya.

“Zaman dahulu, berkahwin ramai [sama ada poligami atau kahwin -cerai] merupakan suatu hal yang harus dielakkan oleh kaum wanita kerana ia membuktikan kamu bukan seorang isteri yang bijak melayan suami atau bukan seorang isteri yang baik sehingga suami kahwin lain atau menceraikan kamu. Sudah tentu hal ini ditakuti oleh para ibu bapa sehingga menggunakannya sebagai ‘ancaman’ kepada anak gadis mereka,” jelas saya pada kawan itu.

“Maknanya, pantang larang ini hanya berkuatkuasa kepada anak gadis sahaja. Anak gadis, usah makan berpindah-randah, nanti hubungan perkahwinan kamu dlanda gelora. Begitu? Tetapi mengapa dikaitkan dengan perlakuan ‘makan berpindah-randah’?” serunya lagi.

“Makan berpindah randah bukanlah satu perlakuan yang sopan. Dikhuatiri juga rumah akan bersepah-sepah. lagipun, masyarakat zaman dahulu punya garis dan undang-undang juga dalam rumah. Mana bahagian untuk tamu, ruang makan, ruang tidur, ruang santai dan sebagainya. Jika kamu makan pindah-randah, maknanya kamu tidak menghormati ruang itu,” jawab saya lagi.

“Oooo…berkait-kait kan?

Terasa kebijaksanaan masyarakat Melayu kita dalam mengaturcara kehidupan masyarakatnya. Itulah proses sosialisasi dalam memanusiakan manusia. Kuncinya, undang-undang.

KOMA

Pagi ini, di sebuah saluran radio berbahasa Inggeris, saya diperdengarkan dengan topik ‘undang-undang paling bodoh yang kamu alami di sekolah’.

Menarik dan mengundang tawa.

Terasa dan terbayang undang-undang semasa berada di sekolah dahulu. Yang bodoh dan yang bersebab.

KOMA

Pagi ini semasa berjalan menuju ke ruang pejabat, saya dikejutkan dengan peristiwa seorang pemuda berbangsa India, ditetak oleh dua orang sebangsa dengannya. Parang menjadi senjata.

Darah menitis di halaman hotel bertentangan pejabat saya. Seram sejuk masih terasa.

Undang-undang, tidak mampu menyekat segala bukan?

Terasa bukan berada di Malaysia. Negara yang kononnya aman makmur.

KOMA

“Lupakan saya.”

Itu undang-undang paling ‘luka’ untuk yang seorang lagi.

Seorang yang mendengar dan menerima ‘undang-undang’ baru dalam hubungan mereka.