kaktus

“Gambar kaktus yang berbunga kembang, telah terpadam dari kamera,” adu saya pada dia beberapa hari lalu.

“Lain kali boleh ambil gambar lagi bukan?” jawab dia memujuk.

Sebenarnya bunga kaktus itu hanya berkembang sekali. Dan selepas itu bunganya akan gugur. Kena tunggu bunga baru muncul.

Mujur, gambar itu sebenarnya bukan terpadam, cuma salah letak sahaja. Jadinya, saya sempat merakam saat bunga itu kembang. Tidaklah cantik mana, tetapi manis buat saya. Kerana ada cerita di situ.

KOMA

“Dalam fotografi, banyak perkara boleh kita belajar. Itu kamu cari sendiri,” kata saya kepada seorang sepupu  yang mula meminati bidang fotografi dan bertanya itu ini kepada saya.

Dia menggunakan kamera Canon. Jadi, saya yang memang tidak begitu bijak dengan jenama itu, hanya tunjukkan apa yang termampu.

“Sebagai jurugambar, kamu harus tahu kelebihan kamu di mana. Adakah dengan mengambil gambar perkahwinan, potret, pemandangan, abstrak dan lain-lain lagi. Macam saya, saya tidak suka ambil gambar perkahwinan,” kata saya.

Sambung saya lagi, “sebab itu kadang kita tengok, ada gambar kita yang cantik, dan ada yang tidak begitu berjiwa. Maknanya yang cantik itulah kecenderungan kita. Saya rasa saya suka ambil gambar potret.”

Dia hanya mengangguk-angguk. Sama ada faham atau tidak saya tidak tahu.

Saya juga mengangguk-angguk. Sama ada yakin dengan fakta yang saya kemukakan atau itu hanya hujah sendiri.

KOMA

Bercakap mengenai kamera DSLR, terutama yang besar-besar dan mahal-mahal, saya lihat ramai yang sudah memilikinya atau mampu memilikinya. Teknologi sentiasa laju berlari.

Namun, ramai juga yang tidak mampu memilikinya kerana ia bukan keperluan hidup. Mungkin.

Saya seorang wartawan merangkap jurugambar, pada mulanya menganggap memiliki kamera DSLR sesuatu yang membanggakan. Memang membanggakan apatah lagi apabila keluar bertugas, bilangan jurugambar wanita yang turut sama berebut-rebut mengambil gambar boleh dikira dengan jari. Juga sedih, apabila saya terpaksa berhimpit-himpit dengan jurugambar lain [lelaki] semasa mengambil gambar majlis. Sehabisnya, saya berundur kerana tidak manis untuk saya turut serta berebut-rebut bagi merakam saat yang penting seperti ketibaan VVIP dan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh kerana hidup saya memang dengan kamera dan gambar-gambar, maka saya menganggap nilai gambar yang saya ambil biasa-biasa sahaja.

Tetapi tidak bagi orang lain yang tidak punya kamera dan jarang diambil gambar. Setiap peristiwa yang terakam memberi makna.

“Saya sudah malas mengambil gambar perkahwinan,” kata seorang kawan jurugambar.

“Mengapa?” tanya saya.

“Majlis perkahwinan hari ini, sudah tiada nilainya. Hanya upacara. Hanya majlis. Beza dengan dahulu. Ada senyum, ada pilu, ada cinta, ada sayang, ada ikrar, ada agama,” katanya yang memang saya kagumi apabila mengambil gambar perkahwinan.

Mungkin.

KOMA

Saya pernah ditawar RM5 ribu untuk mengambil gambar seorang hartawan yang mahu gambarnya dirakam ketika dia menyalami Yang di-Pertuan Agong. Saya katakan padanya saya bukan prefesional.

Dia menyalami Yang di-Pertuan Agong dengan wajah yang paling manis. Tetapi saya gagal merakam gambarnya kerana semua jurugambar bersesak-sesak.

Dia, hartawan itu, kesal tetapi menerima penjelasan saya. Saya, pada waktu itu baru pertama kali memegang kamera kepunyaan pejabat yang tidak secanggih kamera saya sekarang. Dan, saya pada waktu itu masih tidak punya ramai kenalan jurugambar yang boleh diajak berkongsi tawaran seperti yang hartawan itu berikan.

Pernah juga selepas habis satu program, saya didatangi seseorang dari negara seberang. Beliau meminta pertolongan [ada nada rayuan], gambarnya dihantar kepadanya. Saya meminta e-mail beliau agar gambarnya boleh saya hantar dengan mudah. Apabila saya meneliti kembali gambar-gambar yang saya ambil, gambar beliau tiada dalam ratusan gambar itu. Saya terkedu.

Pernah juga seorang pakcik dari Terengganu yang datang ke program yang pejabat saya anjurkan, meminta gambarnya yang saya ambil, dicuci dan dihantar kepadanya.

Saya terkedu. Sebab selama ini saya tidak pernah mencuci gambar dan mengirimkannya kepada sesiapa. Saya hanya ambil, dan dokumentasikan gambar-gambar itu dalam bentuk CD.

Pakcik itu, meninggalkan alamat rumahnya dan berpesan berkali-kali agar gambarnya dicuci dan dihantar kepadanya.

Sehingga hari ini permintaannya itu, tidak saya tunaikan. Begitu juga dengan permintaan-permintaan lainnya yang meminta gambar mereka dikirim melalui e-mail.

Apatah lagi kawan-kawan pejabat yang suka benar gambar mereka diambil. Kebanyakannya saya simpan sahaja. Kecuali beberapa orang yang datang pada saya dan membawa ‘thumb drive’, atau yang menyapa saya melalui YM. Maka mereka boleh mengambil gambar mereka tanpa syarat.

Mungkin, saya menganggap bahawa mereka yang mahukan gambar mereka yang saya simpan, yang seharusnya datang pada saya dan meminta gambar itu daripada saya. Bukan saya yang sepatutnya bersusah payah mengagih-agihkan gambar untuk mereka yang ada dalam simpanan saya. Mungkin.

Bagaimana pula dengan mereka yang datang dari jauh, yang mengharapkan gambar mereka yang saya ambil menjadi kenangan paling berharga, tidak saya endahkan?

Hal itu menjadi satu kesedaran buat saya. Bagi saya gambar yang saya ambil tidak begitu bermakna terutama hal yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat dan terutama apabila gambar itu tiada kaitan ceritanya dengan cerita saya. Ambil gambar, edit sedikit dan dokumentasikan dalam bentuk CD. Simpan.

Namun, bagi mereka yang tidak kamera dan tidak punya ruang untuk merakam saat-saat manis dan penting dalam hidup, mungkin menganggap dengan meminta pertolongan orang lain, saat-saat manis itu boleh di simpan.

KOMA

Nilai sebuah gambar, bukan sahaja kerana kualiti sesebuah gambar itu dirakam.

Nilai sebuah gambar bukan kerana kamera yang mahal atau pergi ke tempat yang terkenal.

Nilai sebuah gambar terletak pada peristiwa yang dirakam. Banyak cerita dapat dipugar hanya dengan sebuah gambar.

Saya juga punya beberapa gambar yang manis bagi saya. Bukan kerana gambar itu cantik dan punya kualiti yang baik, tetapi kerana ia punya cerita. Cerita saya yang terakam melaluinya.