tin

“Di kampung, ada beberapa kes rompakan,” kata ibu melalui telefon.

“Biar betul. Tapi biasalah, felda. Bukan rompakan sahaja, yang lain-lain pun banyak,” jawab saya.

“Ramai yang diberhentikan kerja, itulah agaknya sudah tiada kerja sangat, merompak sana sini. Kalau merompak sahaja tidak mengapa. Ini siap bawa parang sekali. Alhamdulillah tiada lagi yang terkorban,” kata ibu.

“Salah seorang yang rumahnya baru dipecahmasuk ialah rumah emak Ruzaimah. Mungkin sebab rumahnya penuh dengan barang berharga…bla…bla…” kata ibu lagi.

Aik.

Saya agak terperanjat bila ibu bercakap tentang kesilapan mangsa pecah rumah berbanding dengan dosa yang dibuat oleh pemecah rumah terbabit.

KOMA


Pernah tonton filem hindustan bertajuk , ‘Hamara Dil Aapke Pas Hai’ (2000) yang dilakonkan oleh Aishwarya Rai dan Anil Kapoor?

Jika punya masa, boleh lihat di you tube. Lihat nilai sosial masyarakatnya.

Cerita itu berkisah tentang Preeti (Aish) yang melaporkan hal pembunuhan. Tiada siapa yang berani membuat laporan polis. Preeti melakukannya demi keadilan mereka yang tertindas. Dia di perkosa akhirnya.

Masyarakat memandang Preeti sebagai manusia yang bersalah, jijik dan tidak mendapat tempat di dalam kelompok mereka. Ada pula pihak [persatuan pembela wanita], yang bersungguh mahu membela nasib Preeti. Namun mereka hanya mahu menggunakan Preeti untuk tujuan politik mereka. Tidak ikhlas.

Sehingga akhirnya, Preeti dibantu dan di jaga oleh Avinash (Anil Kapoor – dia sangat superhero dalam cerita ini), setelah Preeti dibuang masyarakat dan keluarga. Avinash membantunya kerana kasihan dan memberi kerja serta gaji yang besar buat Preeti. Masyarakat yang awalnya mengutuk Preeti, sudah mula menerima Preeti kerana kekayaannya.

Banyak perkara yang di muntahkan melalui filem ini.

Kisah masyarakat yang lebih memandang mangsa rogol sebagai pesalah dan menghinakan. Perogol pula tidak dikenakan apa-apa kutukan. Siapa yang lebih hina?

Mangsa rogol yang dahulu dihinakan, mudah sahaja dimuliakan kerana kekayaannya.

KOMA

Penyebaran dan penerbitan foto/video tersebut satu serangan berniat jahat terhadap keperibadian saya. Ia merupakan pencabulan maruah saya, satu pelanggaran ruang peribadi saya dan terutamanya, kekudusan kehidupan peribadi saya. Ia juga perbuatan mereka yang tidak berakhlak untuk memalukan saya dan mencemar nama baik saya. [petikan daripada Malaysiakini]

Elizabeth Wong.

Bekas kekasihnya.

Mereka,si anu dan si polan yang mungkin kisahnya sama dengan filem yang saya ceritakan di atas.

Mangsa dikutuk. Orang yang ‘mengenakan’ mangsa pula dilupakan. Siapa yang lebih hina?

Macam mana ni?