matahari

“Matahari penuh,”

“Ya.”

Matahari semakin bersinar. Tetapi kita masih terlena.

KOMA

Pernah tonton filem Just Married lakonan Brittany Murhpy dan Ashton Kutcher?

Bukan babak-babak cinta gila yang saya maksudkan. Bukan juga babak asmara gila yang saya imaginasikan. Tidak pula tentang kehebatan pelakon-pelakonnya dalam memainkan peranan masing-masing dalam meanggambarkan bahawa dalam perkahwinan bukan harta atau kekayaan yang memainkan peranan. Apa yang penting ialah saling melengkapi.

Ada satu babak yang sangat besar impaknya dalam meneliti pembangunan sosial masyarakat Barat. Berkenaan dengan bahasa mereka.

Ada satu babak di mana Tom Leezak (Ashton Kutcher) dan Sarah (Brittany Murphy), berbulan madu di negara Eropah. Tempat yang mereka pilih adalah negara Perancis. Satu insiden telah berlaku di mana Tom telah menggunakan satu alat yang tidak sesuai dengan suis di hotel tersebut. Litar pintas berlaku dan pergaduhan tercetus antara Tom dengan pemilik hotel.

Menurut Tom, dia tidak nampak papan tanda pemberitahuan mengatakan hotel tersebut merupakan hotel lama yang menggunakan suis yang berbeza untuk alatan moden. Pemilik hotel sangat marah kerana notis pemberitahuan ada di tampal di dinding bilik tersebut.

Tom memandang notis itu dan begitu marah apabila notis tersebut ditulis dalam bahasa Perancis.

Dan pemilik hotel itu menjawab lebih kurang begini, “kamu fikir kamu berada di negara mana? Ini negara Perancis, sudah tentulah kami menggunakan bahasa Perancis. Peduli apa kamu bangsa Amerika atau dari mana-mana jua.”

Dan babak-babak seterusnya merupakan pergaduhan antara mereka tentang bangsa dan bahasa.

“Jadi maknanya kami harus menyediakan hotel untuk bangsa Amerika?” demikian kata pemilik hotel tersebut apabila Tom memberi alasan yang ramai orang Amerika datang ke negara Perancis.

Tahu bukan senarai negara yang maju dengan bahasa mereka sendiri?

KOMA

Malam tadi, Buletin Utama sekali lagi menyiarkan tentang PPSMI yang semakin kusut pada mata saya.

Hal yang mudah menjadi kusut dan terbelit-belit apabila jatuh ke tangan mereka yang kurang arif dan berlagak seperti tahu apa yang berlaku.

Lebih memeranjatkan ada pendapat yang meminta, jika boleh ajar juga beberapa subjek lain dalam bahasa Inggeris. Contohnya subjek Geografi. Pendapat lain juga dipaparkan mengatakan ramai graduan yang menganggur kerana tidak pandai berbahasa Inggeris.

Saya tidak mencarut mendengar tingkah yang dangkal seperti itu. Ada manusia punya kekurangan dalam aspek berfikir atau mentafsir tentang hal bahasa ini. Malang apabila manusia itu adalah manusia Melayu dan manusia yang terpelajar.

PPSMI ialah isu pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Alasannya mahu melahirkan generasi yang celik teknologi.

Mengapa?

Kerana banyak istilah sains dan matematik yang tidak dapat difahami oleh rakyat Malaysia ini.

Jika begitu, tanya pada badan terjemahan negara. Ada kelemahan tetapi tidak harus kita letakkan 100% kegagalan menterjemah di bahu badan terjemahan itu.

Kerana apa?

Kita perlu ada kerjasama yang kukuh antara para ilmuan, politikus dan rakyat marhain.

Yang lemah Bahasa Inggeris bukan? Mengapa mahu membabitkan subjek Sains dan Matematik? Mengapa tidak labur sahaja lebih 5 bilion itu untuk memperkasa subjek dan ‘guru’ bahasa Inggeris yang ternyata gagal menyampaikan bahasa Inggeris dengan telus?

PPSMI hanya untuk pelajar sekolah bukan? Mengapa ada isu yang berkaitan mahasiswa yang gagal dalam memperoleh pekerjaan semata-mata gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?

Kesilapan mahasiswa itu sendiri yang tidak mahu mencari peluang memperbaiki bahasa Inggerisnya sedangkan di universiti banyak ruang dan peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris disediakan. Tapi mahasiswa kita dikatakan tidak berkualiti.

Kerana apa?

Kerana mereka leka dan taksub dengan ‘racun’ barat yang berbentuk hiburan, fahaman sekular dan liberal, serta pelbagai-bagai bentuk ancaman halus yang menjadi makanan kepada mahasiswa kita sehingga mereka terlena.

Isu ini bukan hanya isu bahasa sahaja. Ia isu maruah negara. Terhegeh-hegeh menggunakan bahasa asing untuk membangunkan negara sendiri.Kita sendiri tidak meletakkan satu aras keyakinan untuk memodenkan negera kita mengikut acuan kita sendiri. Sejak dahulu. Sejak negara kita dijajah. Masih terhegeh-hegeh dan ‘meminta sedekah’ dari negara barat untuk memajukan bangsa dan negara kita.Sedangkan mereka bukan gagah mana. Bukan hebat mana. Hanya teknologi. Spiritual sama seperti kita ada turun naiknya.

Tidak percaya bahawa bahasa Inggeris bukan apa-apa? Cuba lihat peristiwa kemenangan Jepun mengalahkan Barat di negara kita dahulu. Bukan kerana Jepun pandai berbahasa Inggeris, bukan juga kerana Jepun menggunakan peralatan yang canggih. Mereka gunakan bahasa Jepun untuk membentuk spiritual dan teknologi mereka tersendiri. Mereka tidak guna sistem logik yang diperkenalkan Barat. Mereka tidak guna kereta kebal atau senjata yang hebat. Tentera Jepun guna basikal untuk menguasai Tanah Melayu pada ketika itu.

KOMA

Kita diselubung mimpi yang tidak sudah bukan?

Kita tidak mahu mencuba menggunakan bahasa dan budaya kita sendiri, maka kita mengatakan kita tidak mampu.

Setiap negara mahu mempertahankan bahasa masing-masing.

Negara kita tidak.

Apa yang penting, pejuang bahasa usah bertindak terlalu ekstrim. Tidak manis untuk mendukung jiwa bangsa kita. Perosak bahasa pula, jangan kamu pandang pejuang bahasa dengan sebelah mata.

Baca juga bahan menarik ini;

Dasar Bahasa Di Universiti Nabi Muhammad s.a.w

O.T Dussek

Mr Law dan Buku Melayu