dia

“Saya sedih sedikit pagi ini,” katanya memulakan ruang bicara maya kami.

“Mengapa?” tanya saya.

“Seorang jurugambar di tempat saya, datang ke meja saya. Dia kata ‘bulan ini kita main ping pong puas-puas‘. Saya tanya ‘kenapa‘. Dia menunjukkan surat tidak diperbaharui kontrak kerja,” jawab dia.

Sambung dia lagi, “saya fikir kenapa dia? Kerja dia bagus.”

“Mungkin bukan itu pertimbangan bagi ‘mereka’ yang membuat keputusan.” Saya berkata kepadanya dengan hati yang agak pedih juga sebenarnya.

Dan selepas itu perbualan kami tentang hal-hal yang kami fikir tidak sepatutnya berlaku, tetapi selalu berlaku. Sesuatu yang memisahkan hubungan majikan dan pekerja. Ada konflik di situ. Mungkin.

KOMA

“Saya fikir mahu berhenti kerja.” Itu dialog yang selalu benar saya ungkapkan kepada kawan-kawan dan sesiapa sahaja. Berulang.

“Habis itu, apa pula perancangan kamu?” tanya mereka.

Dan segala hal yang saya sendiri tidak pasti mampu melaksanakannya akan saya hamburkan. Saya mahu buat itu, buat ini dan macam-macam lagi.

Kedudukan saya di sini [ruang kerja ini] sudah selesa. Maksud saya tiada ancaman atau kemungkinan dibuang kerja selagi saya tidak melanggar peraturan dan hal-hal etika seorang pekerja.

Namun, saya masih beranggapan, apa yang saya lakukan tidak begitu memuaskan jiwa. Maksud saya, saya tidak begitu menghargai peluang kerjaya ini atas desakan-desakan kecil yang bila orang dengar akan kata, “eleh, itupun nak bising“.

“Kawan tadi bagaimana?” tanya saya kepada dia sekadar ingin tahu reaksi kawannya menerima surat ‘tidak disambung kontrak’ itu.

“Entah. Tidak nampak. Dia di kubikel sana,” jawabnya.

KOMA

Saya pernah menerima surat yang sama. Tiga tahun lalu, semasa di menara itu. Saya faham bagaimana rasanya apabila sesuatu yang tidak kita jangka, berlaku. Kalaupun kita jangka, ia tidak kita inginkan.

Mengapa dia? Mengapa saya? Mengapa tidak dia, atau dia?

Itu persoalan yang takkan Tuhan beri jawapannya, tanpa kamu berfikir bahawa setiap yang ditakdirkan ada ceritanya.

Jika kamu positif, ceritanya akan baik.

Jika kamu negatif, ceritanya akan pedih.

KOMA

Saya, belajarlah mensyukuri peluang yang ada dan ruang yang diberikan. Selagi hidup.

Meletak diri di sana, di tempat mereka yang ruang hidupnya [barangkali], direnggut walaupun secara perlahan, tidak pernah saya terbayangkan. Walaupun dalam keangkuhan, ada juga benak berkata,

“Saya tidak teruja bekerja di sini. Buanglah saya. Saya mampu hidup tanpa kerja ini”.

Aduhai Tuhan, usah dengar dan makbulkan kata-kata dan rungutan dari orang yang alpa itu.

Saya alpa dalam meletak diri di tempat mereka yang kehilangan nikmat.