k

“Hari ini kamu baik?” tanya cik M.

“Agak baik, ” jelas saya sambil menentang matanya. Bersinar dan cantik seperti biasa.

“Semalam bagaimana? Kamu tidak bercakap dengan saya. Kamu hanya memandu dan memandang ke hadapan dengan kosong. Saya juga lihat ada titis air mata yang tidak kamu seka. Paling saya kesalkan, kamu tidak memandang-mandang saya di sini. Padahal banyak cerita yang ingin saya sampaikan. Banyak bahagia yang ingin saya sebarkan kepada kamu.” Leternya membuat saya terpana.

Lalu pagi ini, saya jelaskan kepadanya mengapa saya berperi sedemikian semalam. Tentang luka kecil pada kereta. Tentang bahagia-derita, tentang apa sahaja. Seperti selalu-selalu.

Dan dia mendengar dengan terbuka, sambil menyebar cahayanya. Begitulah selalu-selalu. Ada cerita, ada puisi, ada lagu mengiringi perjalanan saya dan dia. Ada sesuatu di situ. Untuk seni bercakap-cakap saya.

Terima kasih Cik Matahari.

KOMA

“Kamu makan tongkeng ayam?” tanya saya apabila melihat dia memesan nasi lemak dua bungkus dengan sepinggan tongkeng ayam yang digoreng rangup.

“Ya, untuk seni bercakap-cakap saya,” katanya sambil meratah tongkeng ayam goreng yang kedengaran agak rangup.

“Seni bercakap-cakap? Untuk apa?” tanya saya benar-benar kurang mengerti tingkahnya.

“Aku kan bakal peguam. Makan ‘benda alah’ ini boleh membuatkan aku berhujah dan bertingkah dengan sesiapa sahaja dengan lancar dan baik,” jelasnya lagi sambil menyuakan tongkeng ayam yang digoreng rangup itu ke arah mulut saya.

‘Makan tongkeng ayam nanti mulut tak reti diam’.

Kata-kata arwah nenek mula menyinggah dalam benak saya. Saya diam sambil memandang dia menyudahkan nasi lemak dan tongkeng ayam rangup itu.

Kini, dia seorang peguam. Dahulu dia seorang pendebat universiti yang hebat. Cakaplah apa sahaja. Memang dia percaya seni bercakap-cakapnya itu adalah kerana dia makan tongkeng ayam rangup.

KOMA


“Kenapa suka sangat menonton siri ini?” tanya Ita.

“Sebab seni bercakap-cakapnya hebat.” Balas saya ringkas dengan harapan Ita berhenti bercakap kerana saya tidak mahu ketinggalan satupun dialog dalam drama bersiri ini.

“Iyakah?” tanya Ita mahu menduga lagi.

“Cuba beritahu kakak, ada tidak siri drama begini di Malaysia? Yang kekuatan ceritanya bukan makhluk yang cantik-cantik tetapi kekuatannya terletak pada skrip yang bagus,” tanya saya tanpa mengharap jawapan daripadanya.

Saya suka menonton siri Gilmore Girls kerana ceritanya ‘banyak cakap’. Ia membuatkan cerita bergerak pantas dan bermakna. Buat saya. Berapa tebal agaknya skrip drama ini?

Mungkin hasil dialog begini yang Pn. Ainon mahukan. Seperti dalam Teknik Surah Yusof. Aksi digerakkan oleh dialog.

Dan pernahkah kamu menonton drama seperti ini di Malaysia, maksud saya dari aspek kekuatan skripnya dan seni bercakap-cakapnya?

Advertisements