“Hal kecil sahaja, tetapi kesannya boleh jadi besar. Bergantung kepada manusia dan situasi yang mengiringinya,” bisik saya memujuk diri setelah aduan tentang kemalangan kecil pagi ini kepada jejaka itu, tidak menerima respon yang diharapkan.

Mungkin.

KOMA

dsc_10441

Little tree ini buat saya lapar. Baunya sangat mewangi,” kata saya sambil menikmati kewangiannya.

Benda kecil ini beri sesuatu yang besar. Ia membuatkan saya berada dalam situasi yang agak tenang sedikit walaupun kesihatan tidak begitu baik.

Pagi ini saya menatap benda kecil yang tergantung di cermin pandang belakang di kereta saya dengan ‘rasa’ semalam.

Mungkin.

KOMA

baru

“Sikit sahaja. Tidaklah teruk sangat,” kata seorang teman pejabat apabila melihat calar dan lekuk di sisi kereta saya.

Iya, hal itu, calar itu, lekuk itu, kecil sahaja. Namun ia beri pengaruh yang besar. Sepanjang jalan jiwa bergolak. Langgar lampu isyarat merah dan hampir tersilap simpang.

Pagi ini saya terlupa membaca doa menaiki kenderaan.

Mungkin.

KOMA

“Kenapa tiada semangat?” tanyanya.

“Cik Mac saya sedang dirawat,” jawab saya.

“Hal kecil sahaja. Masih punya medium lain untuk menulis bukan? Tangan ada bukan?” katanya.

Iya, ketiadaan komputer riba buat sementara waktu ini bukanlah hal yang besar sehingga boleh mempengaruhi perasaan menulis. Bila saya belek-belek tulisan tangan saya di nota-nota kecil dan sepihan kertas, ternyata ianya memberi sesuatu yang besar.

Nota-nota bertulis tangan itu membawa ‘perasaan’. Ia lebih memberi imaginasi yang telus dan ‘rasa’ yang wujud ketika nota kecil itu dibaca semula.

Mungkin, bagi saya.

Advertisements