hamba

“Saya Mustafa bin Mansor, Ketua Eksekutif Syarikat bla…bla…bla…”

“Saya Latif bin Ismail, Pengarah Pertubuhan bla…bla..bla…”

“Saya Abu Bakar bin Osman, CEO bla….bla…bla…”

“Saya Lutfi bin Ali, individu Islam.”

Ini dialog [sesi ta’aruf] yang benar-benar berlaku semasa mesyuarat yang baharu diadakan semalam.

*nama adalah rekaan semata-mata.

KOMA

Saya agak tersentap dengan ayat ‘individu Islam’ yang disebut oleh wakil dari sebuah pertubuhan yang terkenal tersebut.

Tiba-tiba terasa, apa sangatlah kerja dakwah yang bakal dilaksanakan jika kita masih mengaku kita adalah seorang Ketua Eksekutif atau Yang Dipertua mahupun apa-apa sahaja jawatan yang menunjukkan status.

‘Individu Islam’ yang disebut oleh wakil tersebut juga tiba-tiba membawa kita kepada suatu hal yang disebut ‘kesederhanaan’ atau ‘kehambaan’.

Namun, dari satu sudut yang lain, mungkin juga wajar kita memperkenalkan diri dan jawatan yang kita sandang.

Kerana itu adalah suatu kedudukan yang kita pernah usaha untuk mendapatkannya. Ia juga mungkin satu panggilan yang membuatkan kita lebih mudah menyampaikan idea dan pandangan.

Bukankah masyarakat memandang tinggi mereka yang berkuasa, berjawatan dan punya panggilan yang tertentu seperti Datuk, Yang Berhormat, Tan Sri dan sebagainya.

Usah lupa gelaran yang bermakna seperti Sasterawan Negara (SN) dan Profesor Emeritus, Budayawan Negara, Mufti,  dan pelbagai gelaran diperingkat akademik.

Apabila menyatakan sesuatu usul atau hukum malah pandangan, segera mereka yang punya kedudukan, kuasa atau gelaran akan dijadikan rujukan atau pegangan.

Kuasa. Panggilan. Jawatan tinggi.

Ketiga-tiga item tersebut akan lebih bermakna jika benar-benar digunakan dengan penuh hikmah, kesederhanaan dan kehambaan.

Advertisements