senja-copy

“Jangan terlewat. Nanti terpaksa tunggu satu semester lagi untuk subjek ini,” kata saya kepada seorang teman sekelas semasa di menara itu.

“Ya, ya. Jangan membebel,” katanya mematikan rasa.

Dia terlewat. Sejam. Dan dia terpaksa menambah satu semester seterusnya untuk subjek yang sama. Hanya untuk subjek itu.

KOMA

“Mengapa perlu tergesa-gesa menyiapkan kertas kerja itu? Bukankah kita punya waktu yang panjang, malam dan siang untuk menyudahkannya?” tanyanya apabila saya menolak untuk menonton teater malam itu.

“Saya tidak mahu kelam-kabut. Lagipun tak semua perkara kita boleh lakukan pada waktu siang. Dan tidak semua perkara boleh disudahkan apabila tiba waktu malam. Kerana itu, Tuhan adakan malam dan siang untuk kita membahagi-bahagikan tugas seharian mengikut kesesuaian dan lumrah alam.” Saya menoleh kepadanya mengharapkan dia mengerti hakikat menghargai masa.

KOMA

“Bangsa Melayu bukan bangsa pengeluar. Mereka bangsa pengguna. Kerana itu, apabila timbul isu boikot barangan Amerika-Israel, bangsa Melayu cepat melatah. Pertikaikan hal hukum -hakam sesuatu tindakan dan juga mengada-adakan alasan untuk tidak turut serta memboikot,” jelas Ustaz Arif yang sentiasa punya senyuman yang manis.

“Bukankah kita sudah mula berusaha mengeluarkan produk kita sendiri?” tanya saya mengingatkan padanya bahawa yayasan kami pelopor kepada konsep halal-hub.

“Kita masih jauh kebelakang dari aspek kesungguhan dan juga lemah dalam aspek mentaliti kepenggunaan. Kita masih menganggap barangan luar negara punya status yang tinggi dan kualitinya terjamin. Bangsa kita pernah menjadi bangsa pengeluar suatu ketika dahulu,” katanya sambil memandang saya dan teman yang lain.

“Iyakah? Bila?” seru saya tidak percaya.

“Ketika zaman pendudukan jepun dahulu. Bangsa kita menjadi bangsa pengeluar. Mengeluarkan barangan keperluan sendiri. Iyalah, siapa yang mahu menggadaikan nyawa ditembak oleh tentera Jepun apabila mahu keluar membeli barangan. Lagipun, peniaga pada waktu itu semuanya bangsa Cina. Sudah pasti peniaga tersebut menutup kedai kerana Jepun memang anti kepada bangsa ini.” jelas Ustaz Arif mematikan tanda tanya kami.

Sambungnya lagi, “tetapi, dalam zaman itu sahajalah bangsa kita sedar tentang keperluan menjadi pengeluar. Selepas Jepun kalah, mereka jadi bangsa pengguna semula. Mereka hanya menjadi bangsa pengeluar ketika getir. Ketika senja.”

KOMA

sticker-kereta3_web

Angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada 971, dan kini mencecah 1000 mangsa, lapor Kementerian Kesihatan Gaza, termasuk 400 wanita dan kanak-kanak.

CARE International menyatakan mereka terpaksa menggantung penghantaran makanan dan bekalan perubatan berikutan bedilan hebat sekitar gudang dan pusat pengagihannya di Bandaraya Gaza.

Selain boikot dan doa, mahukah tentera kita dihantar ke sana bagi memerangi Israel? Gaza tidak memerlukan wang yang berjuta. Mereka hanya mahu musuh mereka berundur dari bumi Anbiya itu.

Senja hampir menjelang. Upaya yang mana mahu kita nafikan?

Advertisements