bot

“Kesilapan kita ialah bila mengkritik sesuatu dengan rasa hati, bukan rasa akal.” Kata seorang pensyarah semasa saya berada di menara itu.

Itu tahun akhir yang saya harapkan berkesudahan seperti beliau, menjadi pensyarah.

“Contoh?” tanya saya.

“Contohnya apabila kamu mahu mengkritik bahan bacaan bergenre pembangun jiwa atau islamik, kamu bandingkan dengan novel sains fiksyen. Mana kena,” jawabnya tanpa menoleh kepada saya.

“Setiap bahan bacaan ada genre tersendiri. Mengkritik dengan hati tidak akan memperbaiki apa-apa kelemahan. Jika mahu katakan novel cinta itu ‘sampah’, kamu harus cari satu novel cinta yang lain sebagai ‘tidak sampah’. Di situ kritikan kamu akan bermakna kerana dapat beri gambaran apa ‘sampahnya’ novel ‘sampah’ itu.” Katanya lagi.

Sambungnya lagi, “membaca juga biar dengan budayanya sekali. Usah baca novel cinta Melayu dengan bawa budaya cinta Barat. Itu tidak kena.”

Saya akur.

Hati, kamu juga harus bijak seperti akal.