titik

“Jika menulis boleh beri awak kekuatan, teruskan. Lagipun blog awak bukan layak dimiliki oleh seorang yang tidak serius dalam penulisan. Ini bukan kata-kata manis,” kata seorang sahabat yang tidak mahu digelar jejaka atau siapa-siapa.

“Ya, saya luahkan kesedihan dan kesedaran tentang sesuatu melalui blog. Jangan risau saya masih boleh mentafsir kata-kata awak dengan rasional dan profesional,” jawab saya.

KOMA

Tahun ini bukan tahun suka-suka.

Cita-cita masih harus dicapai. Impian masih harus dibina. Tentang diri sendiri, tentang bangsa, tentang negara malah terutamanya tentang agama. Jika kamu manusia, hal-hal begini usah dikesampingkan.

Saya mempunyai cita-cita yang masih diusahakan. Saya punya impian yang masih dikendong.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman (UKM) di dalam kertas kerjanya yang bertajuk *”KEUNGGULAN BAHASA MELAYU MENYONGSONG TATANAN BARU DUNIA” menyapa ingatan saya melalui kata-katanya iaitu;

Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk memundurnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk merobohnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk meminggirnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk menghinanya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk menguburnya

*Item ‘bahasa’ itu, boleh sahaja ditukar kepada mana-mana item yang bersangkut hal impian dan cita-cita kamu.

KOMA

Permulaan tahun hijrah.

Menganjakkan usia. Memaknakan kelangsungan riwayat diri.

Hanya kita kenal diri sendiri. Pandangan orang lain bermakna untuk menampal kelompongan hidup.

Tahun yang berlalu silih ganti usah abaikan begitu sahaja. Ada peristiwa hitam dan putih. Yang hitam usah diulang, yang putih jadikan amalan. Itu jadikan pedoman dan tauladan.

Semoga tahun baru ini, saya dan kamu, kamu dan kamu semua beroleh sesuatu dari peristiwa semalam.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430.

Nota kaki :

*kertas kerja beliau dibentangkan di Seminar Bahasa dan Sastera Sempena dengan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang diadakan di Hotel Orchid Garden, Bandar Seri Bangawan pada 14-16 Mac 2006.

*Usah anggap isu bahasa ni suatu fenomena. Ia bukan fenomena. Ia perjuangan sampai bila-bila.