acar

“Nenas, timun, lada besar, bawang, sedikit gula dan sedikit cuka. Ini bahan untuk acar,” jelas ibu.

“Sedap kah?” tanya saya.

“Sedap jika betul gaulnya dan betul sukatannya. Juga sedap jika memang kamu suka,” sahut ibu.

“Oh, macam menulis dan membaca buku la kan?” tanya saya lagi.

Dan ibu senyum sambil terus menggaul bahan-bahan itu membentuk figura ‘acar’ yang sedap dimakan bersama nasi minyak dan ayam masak merah.

KOMA

Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen), anjuran DBP dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) telah berlangsung minggu lalu dan saya salah seorang pesertanya [yang masih gagal memahami konsep penulisan cerpen].

Kata penganjur, “selalunya, pelajar yang sama dalam kelas yang sama setiap tahun, bermakna pelajar itu ‘kurang bijak’ “.

Itu konsep pengajian dan persekolahan. Kamu gagal dan terpaksa mengulang kelas.

Tetapi bengkel seperti ini, kamu tidak dikira ‘kurang bijak’ tetapi sentiasa mahu membaiki diri.

Usaha yang baik ini saya lihat di mana-mana. Pelbagai pihak terutama penulis dan penerbit banyak melaksanakan bengkel penulisan untuk memberi tunjuk ajar kepada penulis muda. Percuma atau berbayar.

Bukankah itu peluang  yang tidak harus kita abaikan?

KOMA

“Karya kita masih belum asli. Tema ikut acuan barat. Padahal dalam masyarakat kita banyak perkara boleh diperkatakan dan diadaptasi dalam bentuk penulisan.”

Itu kata-kata yang dilontarkan oleh pembimbing bengkel, YM Tuan Norizan Mohd Yunos (Ana Balqis).

Dan sejak akhir-akhir ini saya lihat penulisan karya kreatif di negara kita semakin baik dan rencam. Sudah banyak buku yang memperkatakan tentang nilai dan budaya masyarakat Melayu.

Saya bangga itu.

KOMA

Tajuk cerpen amat penting kerana ia akan menjadi kayu ukur pembaca untuk terus membaca.

“Ini apa ni, tajuk macam drama radio,” kata Ana Balqis.

Dan kami tertawa kepada empunya cerpen yang dibedah dan kepada diri sendiri.

KOMA

“Cuma harap ada sesuatu dapat dihasilkan. Percambahan semangat dan idea kadang perlu teman, kadang boleh sahaja sendiri-sendiri. Saya tahu kamu juga semangat mahu menulis,” katanya petang itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Iye, semangat. Pakai lawa-lawa tidak tahu ke mana, siap pen dan kertas tidak tahu nak tulis apa,” jawab sahabatnya yang tidak mahu digelar jejaka atau siapa-siapa.