bahasa

“Bahasa adalah salah satu ciri penting untuk kita mengenali sesuatu bangsa,” jelasnya pada suatu petang.

“Saya tidak tahu bahasa jawa. Tapi saya orang jawa, sebab hidung saya pesek,” jawab saya walaupun ianya tidak begitu relevan dengan topik yang dibincangkan.

“Apa sangatlah rupa fizikal. Kamu boleh kahwin campur untuk memancungkan hidung anak kamu kelak,” sahutnya lagi.

Saya diam, tidak membenarkan atau menafikan kata-katanya. Dia, seorang pensyarah bahasa yang suka menggunakan bahasa Melayu tinggi semasa saya menuntut dahulu.

KOMA

Perlukah pilihan untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)?

Pakar rumus masa depan PPSMI menyenaraikan pilihan ini :

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah,
  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

KOMA

Bengkel, seminar, simposium, kolokium, wacana dan segala bentuk perbincangan memperkatakan tentang PPSMI.

Guru sekolah, kawan-kawan yang berjiwa bahasa dan juga tidak berjiwa bahasa memperkatakan tentangnya juga.

Secara warasnya, mengapa harus meneruskan PPSMI sedangkan semua tahu ketidakwajarannya dalam memperkasa bahasa Inggeris.

Adakah suara guru-guru yang mengajar dan tahu hal yang sebenarnya telah di abaikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia?

KOMA

Untuk memandaikan bangsa Malaysia untuk berbahasa Ingeris, senang sahaja, iaitu perkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya akan memporakperandakan Tanah Melayu ini.

Itu pendapat saya.

Lihat juga :

Kurang sanggam

Bahasa Inggeris di Malaysia