keladi

“Gadis mana boleh menjadi sahabat jejaka tanpa rasa cinta,” jelas wanita itu, yang merupakan isteri kepada teman saya.

“Kadangkala, tidak semua benda boleh dijelaskan dengan kata-kata,” jawab saya untuk menjelaskan bahawa antara saya dengan suaminya memang kawan dan sahabat sejak sebelum mereka diijabkabulkan lagi.

Salahkah bersahabat dengan jejaka?

Mengapa erti persahabatan berlainan gender sering di salaherti? Apatah lagi jika si gadis sudah berpunya dan si jejaka juga begitu.

Benarkah persahabatan hanya wujud sesama gender?

Benarkah wujud larangan dalam bersahabat?

Adakah istilah sahabat punya konsep dan disiplin tersendiri?

Entri kali ini terlalu banyak soalan. Mungkin agak sedikit menjengkelkan terutama bagi kamu yang baru berjinak mengenali bicara rasa blog ini.

KOMA

Dia jejaka.

Katanya dalam bersahabat…;

  1. Umur bukan apa-apa. Tiada beza umur dan persoalan umur tidak bermakna.
  2. Pangkat dan panggilan juga apa ertinya jika hanya untuk membezakan dan membataskan bual-bicara-kongsi-rasa.
  3. Jika salah seorang sahabatnya ingin bercerita, jadilah pendengar atau pemikir yang waras. Biarkan sahabat itu bercerita sepanjang mana pun, kerana tugas sahabat itu banyak. Salah satunya, menjadi pendengar dan peneman yang setia.
  4. Seharusnya sahabat dapat membaca situasi sahabatnya yang lain. Jika bertentang wajah, mungkin boleh dianalisis melalui bahasa badan, mimik wajah ataupun nada perbualan. Jika secara maya (mungkin), boleh sahaja mengaitkan dengan segala peristiwa yang diketahui mengenai sahabat itu.
  5. Hey, saya suka dialog ini; “sama ada internet yang lembab atau awak tiba-tiba diam?”, apabila pertanyaannya tidak saya jawab. Prihatin. Pengingat yang baik, pemaham yang telus. Mungkin juga sama dengan situasi dalam nombor 4 di atas.
  6. Saya tidak guna bahasa Melayu tinggi. Cuma saya benci menaip tak cukup sifat,”. Terus terang. Itu lebih baik daripada berpura-pura.
  7. Setidaknya saya rasa sehingga kini saya berjaya mempengaruhi beberapa kawan yang kerap chat atau sms dengan saya sehingga mereka mengurangkan tabiat bahasa sms. Tak paksa, mereka yang terpengaruh.” Mempengaruhi sahabatnya dengan hal-hal yang baik.
  8. Setiap insan punya Tuhan sebagai teman dan sebagai pembimbing. Isteri itu perhiasan cuma. Suami juga begitu. Tapi jodoh itu urusan Allah. Datangnya ia seperti maut, tak dapat dielak.“. Hmm..sahabat seharusnya menjadi pembimbing.
  9. Apa sangat gender jika apa yang dikongsikan adalah tentang hidup dan mati yang tidak kenal siapa kamu.
  10. Tiada tempoh waktu untuk menjadi sahabat. Mungkin dalam beberapa saat, beberapa minit, atau beberapa jam. Mungkin juga lama, sedari awal kelahiran sehingga ke hujung nyawa.

Sebenarnya terlalu banyak konsep sahabat yang boleh dicatat di sini. Hanya kamu yang tahu. Kamu, yang bersahabat dan memahami apa erti sahabat.

Bersahabat selagi boleh.

Mungkin ia satu konsep yang kekal dan wajib bagi setiap umat manusia. Kerana ‘sahabat’ ada dalam isteri, suami, anak-anak, bapa, ibu, kakak, abang dan juga adik.

‘Sahabat’  juga ada dalam diri setiap manusia. Tidak kira siapa kamu, bangsa atau pangkat kekayaan. Tanpa sahabat bagaimana mahu berkawan dan berkasih sayang dengan alam dan manusia di dalamnya.

KOMA

“Ingat, sahabat tidak semestinya cinta. Jadi jangan tergugat dengan saya yang berkawan dengan suami kamu sejak betahun-tahun lama sebelum dia mengenali kamu,” jelas saya pada wanita itu, yang merupakan isteri kepada teman saya.

Air matanya sekali lagi merobohkan nurani saya.

Ahhh…perempuan, mengapa kamu obses dengan prejudis?

Lalu dia putus harap, tapi kemudian dia mampu untuk lupakan. Demi masa depannya.
Dan demi harapannya pada janji Tuhan (saya harap).
Kerana yang berlalu ada pengajaran, dan secebis iktibar.
Selebihnya, boleh soal diri sendiri. ke mana mahu pergi, dan untuk apa manusia bernafas di atas bumi.
Jawapan cuma satu, kepada Tuhan, dan untuk Tuhan
.

(Kata-kata seorang teman yang tidak mahu digelar jejaka. Katanya cukuplah dia hadir sebagai sahabat)