titis

Hari-hari aku akan menjadi hari kamu, kerana syarat hidup ialah untuk disayangi (lirik lagu Perlu Kamu – Ajai dan Krisdayanti setelah ditukar kepada bahasa Melayu tinggi)

KASIH SAYANG ialah intipati kehidupan. Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang.Apa sahaja yang ditetapkanNya adalah kerana kasih sayang. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Tumbuhan jika tidak diberi kasih sayang akan mati.

Haiwan, jika tidak diberi kasih sayang juga akan mati.

Manusia begitu juga, hidup untuk berkasih sayang. Tapi manusia jika mati, kita akan kata bahawa ‘tuhan lebih sayangkan dia’.

Ini bermakna apa sangat kasih sayang yang kita terima-beri dibanding dengan kasih sayang yang Tuhan beri.

KOMA

Suatu waktu dahulu, satu surat telah saya kirimkan kepada seorang teman yang keliru tentang kasih sayang.Hakikat memberi, menerima dan berkongsi.

Saya beritahu padanya, “Tuhan sengaja jauhkan kita. Tujuannya saya tak pasti. Mungkin juga supaya hati kamu tetap pada yang satu. Berkenaan janji kita, jika tidak tertunai, saya tidak kisah. Masing-masing ada kemampuan tersendiri untuk melakukan sesuatu.”

“Bila sudah berpindah ke sini, segalanya beku bagi saya. Di hati, hujan ada, tapi rintiknya menggendang jiwa dengan alunan yang merdu. Ya, suatu dulu saya marah pada hujan, pada orang yang berhujan, pada peristiwa ditimpa hujan dan juga pada sejarah lama yang mengundang hujan di mata dan di hati,” sambung saya lagi.

“Hujan itu memang rahmat. Hujan melegakan jiwa. Apa yang lebih baik selain basah setelah terbakar? Dan apa yang lebih tenang selain mendengar rintik hujan daripada mendengar cemuh-keluh-kesah manusia yang tidak pernah bersyukur.”

“Hujan, jangan berhenti. Biar basah. Biar orang tidak tahu saya sedang menangis.”

Ayat terakhir saya ucapkan setelah kamu pergi. Tidak kembali.

Saya masih boleh hidup. Tanpa kasih sayang dari kamu.

KOMA

Wanita itu, isteri teman saya.

“Kamu, jangan berhenti memberi. Usah pertikai balasan yang bakal kamu terima dari dia.”

Air matanya bagaikan ribut yang merobohkan jiwa saya.