dsc_0798psd

“Kotak atas almari itu mahu digunakan atau tidak?”

“Ya, saya mahu gunakannya. Mahu isi rahsia akal.”

Bila kita melakukan hal yang sama, orang akan berkata bahawa kita berfikir di dalam kotak. Orang juga akan minta kita keluar dari kotak untuk melihat dunia luar.

Kita bersetuju untuk keluar kotak. Maka, kita dengan sedaya upaya ‘melompat’ keluar dari kotak.

Apabila sudah berada di luar kotak, kita akan ternganga.

“Oh, dunia ini sungguh luas rupanya. Banyak bentuk, banyak warna, banyak rasa.”

Tapi, oleh kerana kita sudah terlalu lama berada dalam kotak, kita jadi kaku. Tidak tahu mahu bergerak ke mana. Tidak tahu menilai bentuk, warna dan rasa yang ada di dunia baru itu.

Kamu yang berada dalam kotak, kamu perlukan seseorang untuk memimpin langkah kamu. Jangan biar tersandung akar yang tertanam di bumi. Jangan terlalu mendongak ke langit. Kamu perlukan tangan yang tahu memimpin ke jalan yang betul. Agar kamu tidak tersesat.

Kamu yang telah berada di luar kotak, kamu harus memimpin dengan baik. Kamu juga harus tahu tentang baik dan tentang jahat. Kamu harus tahu tentang benar dan tentang palsu. Dengan itu pertimbangan kamu akan waras. Jangan matikan semangat mereka yang baru keluar dari kotak.

KOMA

Bengkel KJ Method dan Bengkel Bahasa Melayu Tinggi yang dianjurkan oleh PTS telah saya hadiri. Bengkel ini bermakna buat penulis muda dan penulis yang mahu menjadikan bukunya sebuah aset yang bermakna. Mungkin juga bengkel ini bakal mngeluarkan anda dari kotak. Secara ringkasnya topik yang disentuh;

  1. Tulis lima buku dalam masa yang singkat. Buku yang banyak ditulis beri banyak manfaat dari aspek pemasaran dan lain-lain.
  2. Usah guna linear logic. Tidak perlu ada sebab musababnya.
  3. Jangan abaikan aspek pengulangan. Pengulangan tidak membuang masa.
  4. Seperti artis yang mempunyai pengurus, penulis juga punya penerbit sebagai pengurus. Jadi, kriteria yang ditetapkan oleh penerbit harus diikuti.
  5. Guna konsep fail dan jalan cerita (file and storyline).
  6. Jangan tulis cerita yang tidak pernah/jarang orang tulis (untuk tujuan pemasaran).
  7. Gunakan bahasa Melayu tinggi.
  8. Untuk buku kreatif, gunakan teknik surah Yusuf.

Untuk Bengkel Bahasa Melayu tinggi, pujian diberi kepada PTS kerana berjaya mengekalkan label ‘8 tahun penerbitan berkualiti dalam bahasa Melayu’.

Ya, bahasa Melayu yang baik membolehkan karya atau penulisan kita di baca oleh semua bangsa yang tahu berbahasa Melayu dan tidak akan lapuk dek zaman berbanding bahasa Melayu cacamerba.

Saya masih belajar menulis dengan baik dan menggunakan bahasa yang baik.

Selamat menulis kepada saya.

Advertisements