“Aik, tak tengok filem kat luar?” tanya seorang jejaka yang memakai t-shirt coklat bercop Sindiket Soljah.

“Sesak nafas,” jawab saya.

TOK RIMAU – “GRIP PHONE”. KUMPRINX -“HITAM”. MAMAT KHALID – “MELAYU 106”. CHE WAN MOHD FAIZ & MOHD NAZRI B. ZAINUDDIN – “8 JAM”. NAZ ANNUAR – “MY ALIEN GIRLFRIEND”. SINAGANAGA – “MATINYA SEEKOR AYAM KONGSI GELAP”. AJAMI HASHIM – “SMS”. ALIF FIRDAUS AZIS – “HANTU SILAP MATA”. SHAZROL SUHAIME – “ADIWIRA – PROLOGUE”. BENNYLITA RAMLEE – “HARI NI HARI BODOH SAYA CIK!”. ROZINOR RAZALI – “FIVE CHAIRS”. DEAN SHAM – “RMN BROADWAY”. BIN FILEM – “CEKIK”. BATSHEEBA ZALIKA ARSALAN – “KA SI PE CAH”. GENG SIFOO – “SEBUAH KARANGAN BERTAJUK KUALA LUMPUR”. ZAINUDDIN JAMIL – “ULTRAMARINE | iBLACKHEART | SONG OF THE SEA”. SAIFUL NANG – “SURAT SEORANG IBU”. FAZLEENA HISHAMUDDIN – “THE LOST COMMUNICATION”.

Ini adalah senarai filem pendek yang ditayangkan di Maskara Shorties, Rumah PENA malam tadi. Tak sempat tengok sampai habis. Untuk pendapat dan mungkin juga kritikan, saya tidak layak memperkatakannya. Sambutan begitu mengujakan. Tempat letak kereta penuh. Begitu juga ruang laman Rumah PENA.

Sebahagian hadirin

Vovin dan Tok Rimau

Lan Hussein a.k.a Sinaganaga

Mamat Khalid

Usaha Sindiket Soljah [SS] mengumpulkan pengkarya muda, pereka grafik, penulis muda dan pembikin filem di bawah satu bumbung Maskara Shorties harus dipuji memandangkan tidak banyak ruang dan peluang bagi penggiat seni ini mempamerkan hasil karya mereka. Pelbagai genre filem pendek ditayangkan tidak kira ia hasil penulis dan pengkarya muda serta pembikin filem yang prolifik seperti Mamat Khalid. Hasilnya, aktiviti santai ini mendapat sambutan luar jangkaan sehingga makanan yang dsediakan, berkonsep ‘siapa cepat dia kenyang’.

Malam itu juga, sebuah buku yang digembar-gemburkan bakal ‘habis terjual ‘ telah dilancarkan. ROMLAH : The Untold Stories merupakan sebuah karya yang menggabungkan seleksi 19 cerpen seksi, oleh 18 penulis sensasi, tentang seorang gadis misteri! Romlah: The Untold Stories adalah suplementari kepada antologi bestseller Sindiket Sol-Jah – K-ei8ht (2007).

Apa yang saya ingin katakan cuma, malam itu merupakan malam ‘makan asap’ untuk saya. Ruang laman penuh asap rokok. Kiri ada ramai mamat sedut rokot penuh gaya dan hembus tanpa segan silu. Kanan pula ada minah ‘layan’ rokok tanpa rasa apa-apa walaupun ruang laman juga diisi oleh puan-puan yang sedang mengandung dan puan-puan yang sedang mengendong anak. Kebanyakan filem pendek yang ditayangkan juga penuh asap rokok.

Encik bos yang menemani saya juga hairan, sejak dahulu sehingga kini penggiat seni begini begitu obses dengan muzik yang kuat-kuat dan rokok yang berkepul-kepul. Budaya – rokok -ilham. Mungkin.

Apapun, tahniah buat pasukan SS yang telah bertungkus lumus menyediakan keselesaan dan ruang untuk penggiat dan peminat seni berkumpul.

*Mat Jan, lawak kamu menjadi dalam ‘iklan’ malam tadi. Istinjak-Istinjak Cinta dalam ROMLAH : The Untold Stories juga memecah tawa saya tengah malam tadi.