Saya gelarkan dia ‘ilham romantis’. Bukan kerana dia cinta hati saya. Tetapi dia telah menyuntik cecair dalam otak saya yang beku.

Dan kini, saya bermusuh dengan masa. 24 jam memang suntuk jika tidak diurus dengan baik.

Ingatkah entri saya tentang kegagalan saya sebagai penulis untuk mencari ilham? Terima kasih diucapkan kepada encik Romantis kerana mengambil berat hal itu dan memberi persepsi yang berbeza tentang ilham dan penggaliannya.

10 blog telaga ilham yang disenaraikan begitu mengujakan saya untuk menghasilkan entri ini dan juga beberapa artikel tentangnya. Alhamdulillah. Saya cuba.

Sebenarnya kebekuan otak dan kehilangan ilham bagi seorang penulis memang sesuatu yang merbahaya dan perlu di atasi segera. Apatah lagi buat penulis yang sentiasa mengejar kuota atau ‘deadline’.

Melihat kehebatan dan perkembangan dunia siber sebagai medium penyebaran maklumat yang paling popular masa kini, pelbagai jenis maklumat dan bahan bacaan boleh diperolehi.

Setiap saat pasti ada sahaja blog dibangunkan oleh mereka yang mempunyai pelbagai latarbelakang. Seorang guru, pelajar, penulis, jurutera, doktor, peniaga, petani, ahli politik, pendakwah, pemuzik, pembuat filem, penganggur dan sebagainya.

Adakah mereka dilanda kebekuan otak ketika mahu menulis? Sudah tentu jawapannya ya.

Di sini saya akan berkongsi maklumat tentang cara mencari ilham untuk menulis terutama kepada penulis blog yang baharu membina blog dan mencari ‘populariti’ untuk blog mereka.

Selain membaca 10 telaga ilham yang disenaraikan oleh encik Romantis, anda juga boleh mendapatkan ilham dengan mudah melalui;

  1. Gambar – Bagi seorang penulis merangkap jurugambar seperti saya, gambar-gambar yang ada di dalam simpanan harus dibuka semula dan tatap satu persatu. Pasti ada cerita yang menarik di sebaliknya. Buat ulasan mengenainya. Letakkan gambar dan ulas mengenai gambar tersebut dengan ringkas. Itu sudah memadai. Blog saya di blogmas banyak menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan entri.
  2. E-surat [e-mail] – Setiap hari pasti ada e-surat dihantar kepada anda. Sebaiknya maklumat daripada e-surat tersebut jangan di salin-tampal sahaja. Ulas mengenainya.
  3. Surat khabar – Peruntukkan pagi anda sekurang-kurangnya sejam untuk membaca surat khabar. Banyak topik boleh di ulas dan bincangkan bersama pembaca blog. Selain surat khabar, apa-apa bahan bacaan juga boleh di ulas semula.
  4. Alam sekeliling – Apabila keluar dari rumah sahaja, fokuskan 5 + 1 deria anda. Perhatikan segala yang ada di depan mata diikuti dengan akal yang waras. apabila melihat satu subjek, misalnya seorang tua yang mengayuh basikal membawa tin kosong, adakan sesi soaljawab dengan diri sendiri tentang subjek tersebut. Mengapa dia mencari tin kosong? Mengapa harus bekerja dalam usia uzur? Ke mana anak-anaknya? [haih…macam polis pula].
  5. Blog orang lain – Baca blog yang lain dengan aliran yang berbeza dari diri sendiri. Dengan demikian, kita memperolehi ilmu yang baharu dan mencabar otak untuk bekerja lebih keras. Jika anda mempunyai komen yang bernas untuk entri dalam blog orang lain, jadikan komen tersebut sebagai entri anda. Maknanya ulas atau komen penulisan entri blog orang lain dengan menulis satu entri baru dalam blog anda.

Senarai di atas adalah saranan mudah bagi penulis blog yang baharu dan lama yang mengalami sindrom ‘otak beku’. Mungkin ada cara lain yang anda boleh utarakan di dalam ruangan komen nanti.

Dan tidak kira sama ada sesuatu penulisan itu ilmiah atau tidak, ia masih memerlukan ‘otak’ untuk menghasilkannya. Dan jangan lupa seni untuk mencantikkannya.

Tak tahu tentang seni?

Baca Seni Mengarang Blog ala encik Romantis.

Advertisements