Lagi 9 hari bulan November akan menjelma. Aduh, artikel bulan Oktober masih sifar. Kenapa bulan ni otak sangat beku? Mungkin sebab banyak makan.

Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah. Ini bulan-bulan Islam.

Hari ini kita berada dalam bulan Oktober, bulan Syawal. Mungkin ada yang sedang merancang ke bulan. Atau berbulan madu. Ada juga yang sedang ‘datang bulan’.

Setiap malam ramai yang memandang langit. Mencari-cari bulan. Padahal tahu bulan tidak selalu muncul.

Bila memandang sesuatu yang indah, biasanya wajah kekasih tercinta [gadis], si jejaka akan berkata, “wajahmu bak bulan purnama.”

Maknanya “hei gadis, duduk jauh-jauh dariku, kerana kau sendiri tahu bulan purnama itu hanya indah dari jauh. Bila dekat, bulan yang indah tadi menjadi biasa-biasa sahaja dengan permukaaannya yang berlopak-lopak.

Bila dapat sesuatu yang diimpikan, mereka bilang, “bagai bulan jatuh ke riba”. Mengarut betul. Mana mungkin bulan jatuh ke riba. Kalau bulan jatuh, apa akan terjadi dengan Bumi?

Bulan mempunyai garis-pusat 3480 km, iaitu satu perempat saiz Bumi. Itu fakta.

Bulan ini, bulan Oktober. Semua yang ada di sekeliling amat beku.

Politik dengan halnya yang seperti kanak-kanak bermain selut dan saling membaling lumpur ke wajah masing-masing.

Dunia hiburan lagi memualkan. Ada ke nilai hantaran Mawi yang akan bernikah dengan Ikin pun nak diambil tahu ? Buang masa!

Beku otak memikirkan keprihatinan sesetengah manusia terhadap sesuatu yang tidak bermanfaat.

Dan saya membilang hari. Lagi 9 hari bulan November bakal menjelang.

Oh ilham, bantulah saya memenuhi kuota artikel bulan ini.