Setengah yang kurang akal dan bahasa,
Tingkah dan laku bagai raksasa,
Syarak dan adat kurang periksa,
Seperti harimau mengejar rusa.

[Syair “Dendangan Untuk Anak” oleh Pak Tenas]

“Kearifan Orang Melayu Berbahasa”, tajuk yang melingkari ruang dewan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Syarahan Raja Ali Haji yang berlangsung semalam.

Tahun ini Pak Tenas Effendy memulakan bicaranya tentang Melayu, bahasanya dan bangsanya. Beliau seorang budayawan dan pengkaji bahasa Melayu yang terkenal bukan sahaja di Riau, malah di pelusuk dunia Melayu.

Memang benar Melayu itu hilang akarnya dan nilainya akibat bahasa Melayu yang menjadi jatidiri bangsanya tidak dipelihara dan dikaji sebaiknya.

Banyak perkara yang ‘kurang sanggam’ berlaku di sekeliling akibat ketidakfahaman masyarakat terhada apa yang ditutur, diungkap dan dilaksanakan. Bagai meletak sesuatu pada tempat yang salah.

Sebagai contoh katanya, moto “Bahasa Jiwa Bangsa” tidak harus digunakan lagi di Malaysia memandangkan rakyatnya sendiri sudah tidak memelihara bahasa dari aspek nilai dan kesantunannya.

Dan seketika pelbagai rahsia bahasa Melayu zaman dahulu dikupas dan dibongkar rahsia pemakaiannya oleh Pak Tenas, membuatkan saya terpaku pada kosa kata dan intonasi masyarakat Melayu zaman dahulu yang kaya dengan kearifan dan kehalusan perasaan penuturnya.

Hal ketidaksanggaman ini juga membawa saya kepada beberapa hal yang berkaitan. Contohnya istilah Busana Islam yang digunapakai oleh masyarakat hari ini tidak kena langsung dengan konsep dan makna ‘busana Islam’ yang sebenarnya. Jika tidak arif tentang busana Islam, kaji dengan baik dan bukan bertindak mencipta situasi sendiri yang bersalahan dengan konsep sebenarnya. Mungkin juga pereka fesyen hari ini harus membuka kembali kitab dan syariat Islam tentang pakaian umatnya. Paling mudah, baca sahaja Manikam Kalbu.

Hal lain yang sangat tidak sanggam ialah Persaingan Peradaban Gadis Melayu yang dilaksanakan oleh TV9. Aduhai, apakah kefahaman mereka tentang perempuan, Melayu dan Islam?

Melayu, tidak akan lari dari aspek Islam. Asasnya Islam. Jadi, kriteria yang mereka gunakan bukan berlandaskan Islam apabila gadis yang terpilih jauh daripada ciri-ciri gadis Melayu yang sejati.

Tetapi tidak mengapa agaknya apabila gadis Melayu yang terpilih nanti seperti yang dikatakan oleh perempuan ‘Melayu sejati’ ini;

“Walaupun tidak seperti gadis Melayu yang benar-benar tulin, namun setidak-tidaknya mereka kenal akan rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan serta kebudayaan Melayu,” kata Ezzah Aziz Fawzy.

Senang kan? Hey, baca Surat-Surat Perempuan Johor. Fahami konsep perempuan sebenarnya dalam syariat.

Itu belum lagi ketidaksanggaman pemberian darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Dan juga wujud istilah Bapa Demokrasi apabila wujudnya Hindraf dan pertikaian hak istimewa orang Melayu.

Ada yang tidak kena dengan masyarakat hari ini seperti bait-bait puisi di bawah;

Lalu dilarik bibir
gincu tak seri,
Di bawah kenanga
bau tak wangi,
Di sisi lampu bayang tak jadi

[puisi “Janda Setinggan” oleh A.Samad Said, 16-24 Disember 1988]

*Utusan Malaysia : Melayu Akan Pupus Tanpa Bahasa