Pesan guru, jika kamu tidak mahu jadi baik, jangan buat orang jadi jahat.

Pagi tadi, melalui telefon seorang ibu bertanya, mahu kepastian adakah filem Kami The Movie sesuai untuk anaknya yang masih belajar di tingkatan satu. Dan saya tidak mendengar jawapan yang diberi oleh Liyana Jasmay dan kawan-kawannya yang bertandang ke konti Hot Fm untuk mempromosi filem itu.

Saya tidak tahu apa jawapan yang Liyana Jasmay beri.

Sampai di meja kerja, saya membuka komputer dan mencari maklumat tentang filem ini.

Ibu yang menelefon, saya rasakan raya pertama ini biarlah anak ibu yang masih belajar di tingkatan satu itu dibawa menziarahi saudara mara.

Hari raya bukan untuk menonton filem. Hari raya untuk menyambung silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan.

Dan jika bukan hari raya pun, filem ini tidak sesuai untuk menjadi inspirasi kepada pelajar sekolah walaupun subjeknya mengenai peralihan usia dari zaman sekolah ke alam dewasa.

Maafkan saya jika prejudis. Malangnya filem remaja di Malaysia terlalu klise. Pemberontakan emosi, krisis gender, persoalan cinta yang kecundang dan kematian jiwa.

Jika memang persoalan itu yang melingkari usia remaja, mengapa perlu dipaparkan dengan babak yang serupa? Tanggungjawab sosial untuk membaiki masyarakat tidak diambil kira.

KOMA

Saya sedang menyelongkar persoalan perpaduan. Juga sedang menggali punca kematian jiwa generasi muda terutama remaja yang baru menamatkan alam persekolahan.

Setiap hari saya menerawang ke alam maya. Meneliti setiap maklumat yang diperolehi. Terjumpa satu blog yang bermakna.

Menyelongkar blog cikgu jimi, saya merasakan satu kelainan. Kisah proses pendidikan dan pengajaran yang dilaksanakan guru ini sungguh membuatkan saya berkata;

“Jika kita punya ramai guru sebegini, maka kerajaan akan goyang kaki. Tidak perlu memikirkan masalah keciciran pelajar dan masalah sosial yang melanda generasi muda.”

Namun, tidak semua guru bertindak sebagai guru.

KOMA

Mengunjungi blog cikgu jimi tidak pernah menghampakan. Juga pagi ini.

Beliau bercerita tentang kemunculan filem Laskar Pelangi. Filem hasil adaptasi novel Andrea Hirata dari Indonesia ini menampilkan kisah kanak-kanak gelandangan yang hidup dalam ruang yang sempit namun mampu membina dunia yang besar. Inilah kisah ‘kekitaan’ dan ke ‘kami’ an yang baik dalam menjelaskan konsep perjalanan meniti usia dewasa.

Membaca novelnya sahaja sudah cukup mengagumkan, apatah lagi jika menonton filemnya yang dikatakan sudah ditayangkan di Indonesia.

KOMA

Ibu yang menelefon Hot Fm pagi tadi, saya tarik balik kenyataan saya bahawa raya bukan hari untuk menonton filem.

Ibu, Hari Raya memang bukan untuk menonton filem di panggung wayang jika filemnya adalah kisah remaja yang sangat klise dengan porakperanda jiwa.

Ibu, Hari Raya adalah hari menonton filem jika filem yang ditayangkan penuh dengan nilai dan kebangkitan jiwa seperti filem Laskar Pelangi.

Advertisements