Kak, cantik tak?” tanya Ita sambil tangannya mengelus-elus sehelai baju t-shirt berlengan pendek dan ada gambar hati di tengah-tengahnya.

“Nak beraya kat Amerika ke?” tanya saya balik.

Hari itu, raya pertama. Rumah saya menerima kunjungan dari saudara terdekat. Ramai juga.

Hari itu, saya berdiri di sebelah meja berdekatan ruang tamu. Menghidang air dan melayan tetamu.

Hari itu, semua tetamu, termasuk abah dan emak ternganga melihat baju kebaya saya ‘ternganga’. Butangnya tercabut kerana hujung baju kebaya tersepit di meja.

“Kenapa tak pakai kerongsang untuk kebaya tu?” tanya kakak.

KOMA

Hari itu, janji dengan Salina untuk beraya bersama. Abah tak benarkan saya menunggang motorsikal. Maka saya mengalah dan menggunakan pengangkutan awam.

Hari itu, bas agak penuh. Saya duduk di tepi tingkap. Bas berhenti mengambil penumpang. Seorang jejaka duduk di sebelah saya.

Hari itu, hampir semua penumpang ternganga melihat baju kebaya saya ‘ternganga’.

Jejaka itu, yang duduk sebelah saya, menghimpit hujung kebaya saya. Semasa saya mahu menekan loceng untuk berhenti, kebaya saya tertarik dan semua butang terbuka.

“Kenapa tak pakai kerongsang kebaya?” tanya Salina apabila saya menceritakan musibah yang melanda.

KOMA

Hari ini, kebaya masih tergantung. Yang lama dan baru.

Saya ambil baju kurung. Bukan kerana Manikam Kalbu. Bukan juga kerana tidak mampu beli kerongsang kebaya.

Harapan agar baju kurung ini mampu mengurung diri dan aib.

Dan kerongsang yang disebut-sebut kononnya mampu menutup kemas baju kebaya itu, sebenarnya bukan apa-apa.

Kerongsang yang mampu menutup diri dari segala fitnah adalah Iman.

Advertisements