“Kalau awak cuti pun, mesti awak tak mahu diganggu,” jelasnya apabila saya mengganggu hari cutinya.

“Eh, apa pulak. Saya tidak akan marah orang ganggu cuti saya apatah lagi ia berkaitan dengan bidang kerja saya.” Balas saya mempertahankan tindakan saya membuat panggilan berkaitan kerja kepadanya ketika dia bercuti.

Dialog di atas tidak berkenaan dengan entri di bawah.

Saya mula ‘bercuti’ hari ini. Kaum jejaka kata, ‘cuti’ seperti saya menyeronokkan apatah lagi pada waktu ini, bulan ramadhan. Bagi saya ada benar dan tidaknya seronok ‘bercuti’ ketika ini.

Saya yang bercuti tetap ada tugas. Menjadi tukang rasa untuk kuih-muih dan lauk pauk yang ibu masak.Tapi siaplah, jika masakan tidak menepati rasa, maka orang yang sedang ‘bercuti’ dan secara automatik menjadi tukang rasa akan dipersalahkan.

Suatu ketika dulu, ‘cuti’ begini, dalam bulan puasa amat seronok. Merasa kuih-muih yang baru di masak memang menyelerakan. Apatah lagi di hadapan adik-adik yang terdiri daripada kaum jejaka. Pada waktu itu, dengan gaya makan yang bernafsu ala-ala Maria Tunku Sabri, aktiviti saya merasa kuih sudah pasti menggugat puasa mereka.

Sekarang setelah dewasa, walaupun bercuti saya pasti menghormati orang-orang di sekeliling.

Selamat meneruskan ibadah puasa kepada semua jejaka yang baligh dan waras di luar sana. Dan kepada wanita yang diberi keistimewaan bercuti pada bulan ini, bercutilah dengan hikmah dan tanamkan rasa hormat kepada mereka yang tidak bercuti atau tidak punya peluang untuk bercuti pada bulan ini. Nak makan pun pandang-pandanglah sekeliling.

*Sedang fikir nak bawa bekalan apa untuk ke pejabat Isnin nanti. Dan paparan di atas sengaja bersaiz besarlebar demi menyetujui permintaan encik xemeer. Tahniah, cadangan anda diterima oleh lembaga pengelola blog ini.