“Kenapa blog kamu cacamerba? Asyik cerita tentang cinta-hati-jiwalara-terluka-menangis-pilu. Ahhh…bosan!” kata mereka.

“Kita mungkin sama bentuk. Tapi isi kita berbeza. Dan setiap yang berbeza itu ada pengikutnya!” jawab saya.

Blog ialah catatan. Apa-apa sahaja catatan. Untuk tujuan pelbagai. Blog juga adalah media sosial. Juga alat sebaran yang berkesan.

Blog sudah popular. Ramai yang mengambil peluang mencipta kelainan dalam berhubungan dengan masyarakat luar melalui blog.

Tetapi tidak pelik jika masih ramai tidak memiliki blog. Masing-masing ada keperluan dan pendirian. Mungkin juga kerana dimomok dengan pendirian blog itu cacamerba. Tidak punya apa. Hanya merepek-repek dan buang masa.

Pembinaan blog oleh seseorang melalui pelbagai tujuan. Itu saya pasti. Kerana itulah terdapat berpuluh ribu malahan mungkin beratus ribu blog dengan tema yang pelbagai. Isi kandungan yang bermacam.

Paling penting, blog menjadi wadah utama selain media arus perdana di Malaysia. Blog dijadikan medium untuk menyalur sesuatu yang mungkin jika menggunakan medium lain akan melalui kesukaran seperti birokrasi dan sebagainya.

Blog tidak berbayar amat mudah dibina. Dan blog yang menggunakan mana-mana domain berbayar pula harus mengekalkan konsisten agar ia berbaloi kepada penulis dan pembaca.

Blog mempunyai pengikut tersendiri. Apatah lagi jika ianya jelas tentang sesuatu perkara. Contohnya blog politik, hiburan, motivasi, agama, buku dan sebagainya yang mempunyai ribuan pembaca.

Sebagai menyemarakkan lagi dunia blog, pelbagai cara wujud bagi mengiktiraf satu-satu blog itu bernilai dari segi isi kandungan atau tidak. Namun ini bukanlah apa-apa bagi penulis yang hanya menulis untuk luahan rasa, atau menjadikan blog sebagai diari hariannya. Ya, saya pasti statistik pengunjung atau nilai blog bukan apa-apa bagi mereka yang tergolong dalam penulis blog ‘jiwalara’.

Tetapi bagi blog yang berunsur politik, harga blog pasti diambil kira bagi menunjukkan kekuasaan dan pengaruh mereka dalam menyebar maklumat dan mengikat pembaca agar yakin dengan apa yang disampaikan oleh mereka melalui blog.

Begitu juga halnya dengan blog yang berunsur agama dan motivasi. Juga blog yang bercerita tentang kepakaran penulis seperti penulis buku, doktor, guru, tukang jahit baju, petani dan sebagainya. Mereka akan rasa puas menyebar maklumat kepada masyarakat. Oleh itu harga blog turut diambil kira.

Pelbagai cara wujud untuk meneliti harga sesebuah blog. Mungkin juga anda boleh melihat carta weblog popular dengan menggunakan Alexa Rank.

Ada juga yang menggunakan Technorati Rank untuk menilai blog masing-masing.

Ini pula harga blog dalam Ringgit Malaysia.

Tetapi cara-cara ini dikatakan tidak sah kerana tidak jelas kaedah yang mereka gunakan untuk penilaian sesebuah blog. Adakah melalui statistik pengunjung sahaja tanpa melihat isi kandungan blog tersebut. Ini kerana terdapat blog yang tidak meletak statistik pengunjung di blog mereka namun, hakikatnya, blog mereka amat popular dan dikunjungi oleh ramai orang melalui komen-komen yang tersiar.

Nilai dan harga sesebuah blog sebenarnya terletak kepada penulis dengan tujuan apakah dia berblog. Jika sekadar meluah rasa hati, tidak salah kan jika kita kata blog itu mempunyai nilai yang tinggi. Mungkin kerana kejujuran dan jiwarasa yang tinggi dalam blognya.

Untuk blog yang benar-benar menginginkan sesuatu perubahan dalam masyarakat seperti blog politik, agama, motivasi dan kepakaran tertentu, sudah pasti harga blog akan diambil kira. Ini seterusnya memperlihatkan kecenderungan masyarakat terhadap apa yang mereka mahukan dan apa yang mereka sedang lakukan.

Kesimpulannya, kita tidak boleh menilai sesuatu blog itu bernilai atau tidak. Nilai tidak boleh diletak untuk satu pihak sahaja iaitu pembaca. Nilai dan harga juga harus dilihat kepada penulis dan tujuan dia menulis.

Advertisements