Katanya, aku pentafsir yang gagal mencari makna air di mata…

Ramai yang gagal dalam hidup kerana malas berfikir dan mentafsir. Itu kata abah yang sehingga kini silih berganti memperkaya hidup seorang anak. Kata abah lagi, setiap yang berlaku ada sebabnya. Sebab musabab yang melingkari hukum karma.

Setiap apa yang dilakukan hari ini ada kesannya di masa hadapan.

Setiap apa yang dilakukan hari ini ada balasannya di masa hadapan.

Abah memahami anak-anak dengan mengkaji setiap apa yang berlaku.

Kenapa ibu kepenatan walaupun bergelar suri rumah? Kerana banyak kerja rumah yang harus diselesaikan atau kerana tiada yang membantu ibu melaksanakan tugasan itu?

Kenapa adik mahukan sangat motosikal untuk ke sekolah? Adakah mahu menghargai masa agar tidak terlewat ke sekolah ataupun mahu menunjuk-nunjuk dengan teman yang lain?

Kenapa kakak berdiam durja mengurung diri di dalam bilik? Adakah kerana pertama kali datang haid atau pertama kali didatangi cinta?

Kenapa angah ligatnya bukan main? Kerana pengaruh teman atau salah asuhan?

Bermain dengan sebab musabab menjadikan abah manusia yang memanusiakan orang lain terutama anak-anaknya.

Tapi hari ini, manusia malas berfikir dan mentafsir. Senang-senang meletak atau menjatuh hukum tanpa usul periksa, gerangan apakah kesalahan itu dilakukan. Apa puncanya atau apa gelodak yang melanda.

Kalaulah abah punya banyak masa, mahu sahaja saya tanyakan pada abah mengapa ada manusia yang sanggup menyongsang arus, melakukan sesuatu yang menjadi kemarahan orang lain.

Jawapan abah yang paling saya pasti ialah, abah akan kaji mengapa si polan jadi begitu, si anu lakunya begini.

Tapi, tak semua abah begitu kan? Ada juga abah yang tak suka fikir-fikir, Tak suka kaji-kaji. Apa yang berlaku itulah dia. Maka kata putus segera dilontarkan, hukum segera dijatuhkan.

“Huisssh….bahaya tu,” kata abah.

Abah memahami anak-anak dengan mengkaji setiap apa yang berlaku. Dan seharusnya pemimpin memahami rakyat dengan mengkaji apa tindak tanduk yang diambil oleh rakyatnya.

Advertisements