Jangan ganggu saya. Saya perlukan sedikit ruang untuk sepi.

Kursus Nilai Bersama yang berlangsung di Institut Latihan dan Dakwah Islam Selangor (ILDAS) minggu lepas masih berbekas. Bukan kerana kesan kursus itu. Tidak. Kursus itu tidak berkesan apabila terdapat beberapa kakitangan yang tidak menunjukkan minat mengamalkan nilai-nilai bersama yang diunjurkan dalam yayasan ini.

Ilmu -Prihatin -Integriti – Disiplin – Kerjasama.

Lima nilai yang telah sebulat suara diterima pakai. Namun, tidak sejauh mana dipraktikkan. Hal ini betul-betul menggangu jiwa saya.

KOMA

“Kenapa mata awak,” tanya urus setia pagi subuh itu ketika tazkirah subuh dijalankan.

“Tak dapat tidur kak. Saya diganggu sepanjang malam,” seru saya sejujur mungkin.

Kakak urus setia agak ternganga dan berpandangan sesama mereka.

“Ganggu macam mana?” Soalnya lagi dengan minat.

“Diganggu novel,” jawab saya sambil tersengih-sengih menahan mata yang pedih.

KOMA

“Malam itu, saya nampak ada lembaga di penjuru katil saya. Budak katil sebelah juga melihatnya. Bukan saya sahaja yang diganggu, malahan sejak kumpulan pertama berkampung di sini, sudah timbul cerita yang berasas. Bezanya, mereka siap dengar suara mengilai-ngilai lagi,” cerita seorang teman melalui sistem pesanan ringkas [sms].

“Aaaa…biar betul,” jawab saya agak keseram-seraman. Teringat lawak ‘gangguan novel’ yang saya lakukan subuh tadi.

Patutlah kakak urus setia agak serius. Saya syak ketika saya melayan novel malam itu yang membawa ke pagi, dan berjalan sendirian ke tandas lebih kurang pukul 4 pagi, ketika itulah ‘gangguan’ di asrama lelaki berlaku.

Aduhai seramnya.

Advertisements