Berjalan terus berjalan. Temui jalan nak dituju. Mencari terus mencari. Intan bukannya batu.

Hari ini seperti semalam. Rumah itu sepi sedikit. Apatah lagi bilik pertama yang bertentangan dengan bilik air.

Saya buka tudung. Dan menyalin baju kerja kepada baju t-shirt. Kain baju yang baru dicuci masih berlonggok di dalam bakul. Malam tadi terlupa melipatnya.

Selalunya kain yang baru diangkat dari ampaian tidak akan berlonggok begitu. Tapi hari ini lain dari hari-hari sebelumnya.

Pergi ke dapur. Aduhai, pinggan dan beberapa biji cawan belum bercuci. Periuk nasi masih belum berendam dan ada kesan minyak di dapur yang masih belum dilap.

Selalu memang bukan begini keadaannya. Dapur bersih apabila saya bangun pagi dan balik kerja.

Menyingsing lengan membersihkan dapur, mengeluarkan ikan dan sayur yang akan dimasak serta mengupas bawang putih dan merah yang biasanya memang telah sedia berkupas. Hari ini, tiada bawang yang berkupas. Proses memasak terasa lama.

KOMA

Bilik ini sunyi. Tiada penghuni. Selalu pun sunyi. Tetapi ada penghuni. Sedang membaca dan menelaah pelajaran.

Mata menerawang. Daun pintu almari dibuka perlahan. Ada beberapa pasang baju kurung tergantung. Itu baju saya. Yang sebelum ini berkongsi dengan dia.

Melangkah ke meja belajar yang dulu menempatkan buku pelbagai tajuk. Tebal dan nipis. Kamus Oxford. Pensel dan pen pelbagai warna. Kini, itu semua tiada. Tapi meja ini tidak kosong. Ada macbook, tetikus dan wayar internet yang berselirat.

Dulu ini bilik dia, sekarang menjadi tempat saya menumpah ilham.

Sebenarnya, saya tidak kisah kemas dan memasak sendirian. Juga semakin betah merasa sepi tanpa teman berbual. Inilah modal yang harus dibayar untuk mematangkan dia.

KOMA

“Assalamualaikum”

“Wa’alaikumsalam”

“Sihat ? Kenapa senyap je? Rumah sewa okey? Dah makan?” satu persatu pertanyaan mengisi ruang gegendang dia.

Thumb drive masuk virus. Guna komputer di perpustakaan,” jelasnya tanpa menjawab soalan saya.

“Habis tu? Takkan tak scan dulu sebelum guna. Takkan tak tahu?” jawab saya.

“Nak laptop…”

KOMA

Aduhai, modal mematangkan Ita supaya dapat hidup berdikari dengan tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawannya amat mahal. Dan Ita masih tidak mampu berdikari.

Bukan wang ringgit menjadi perkiraan. Tetapi sejauh mana dia melihat kewajaran tindakan saya meminta dia menyewa rumah berdekatan dengan universitinya.

Saya tidak mahu dia menjadi generasi wikipedia yang hanya tahu ‘tiru dan salin’ untuk kertas kerja dan kertas projeknya yang berlambak-lambak.

Sistem pendidikan zaman Ita membuatkan dia terlalu kalut mengurus masa belajar dan melakukan aktiviti yang membolehkan dia hidup sebagai manusia. Ita tak punya masa untuk menikmati zaman remajanya.

Dengan menyewa rumah yang berdekatan dengan tempat belajarnya, saya mengira bahawa Ita akan punya lebih banyak masa berbincang dengan kawan-kawan dan menelaah pelajaran berbanding sebelum ini yang memerlukan sekurang-kurangnya 3 jam untuk pergi dan 3 jam untuk balik ke rumah.