“Mendokumentasikan sebuah pemikiran melalui tulisan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kerana ia tidak boleh dipadam dan di baca oleh semua orang, sepanjang zaman” – Nisah Haron

Dan hanya dengan kalimat pembukaan itu saya sedar ‘hubungan kimia’ antara saya dan dia bermula.

Mungkin agak terlewat untuk saya membuat catatan tentang Umbara Sastera 2 dan Bengkel Asas Penulisan Cerpen anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Dan jadual hujung minggu yang lepas terisi.

Sesuai dengan namanya, Umbara Sastera, maka telahan saya tepat tentang pengisiannya yang cukup bermakna dalam santai. Membawa saya mengembara dan menjelajah minda dengan pelbagai cara memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu. Juga menggugah peserta dengan idea dan pendapat tentang dunia sastera.

Sangat bermakna bagi saya dan juga adik-adik atau rakan seperjuangan yang baru mula bertatih dan takut-takut mahu mendokumentasikan pemikiran melalui bentuk penulisan karya kreatif.

Sebenarnya, halangan dan alasan yang saya ciptakan bukan apa-apa. Bukan apa-apa. Itu hanya sekadar pemusnah semangat yang baru tumbuh.

Berhadapan dengan Puan Nisah Haron hari itu memang berlainan benar dengan situasi bertemu beliau di mana-mana (pesta buku dan DBP). Saya tidak pernah membaca karya beliau dan kebanyakan penulis wanita yang lain dengan alasan, saya seorang wanita yang ‘tiada kimia’ dengan penulis wanita. Maka, kebanyakan buku dan novel yang saya baca melingkungi kehidupan dan penulisan seorang penulis lelaki.

Aduh, malangnya mengikut kata hati dan menurut peraturan ‘kimia’ yang akhirnya membataskan saya kepada perkara yang saya nampak sahaja.

Bacalah, baca dan baca. Itu hakikat yang menjadi makanan kepada penulis dan membuka tirai perbincangan. Hatta, sasterawan negara A. Samad Said sendiri mempunyai tabiat membaca yang mengagumkan selain menjadikan kediamannya sebagai perpustakaan. Hal ini akan saya ulas pada entri yang lain.

Hari itu (19 Julai 2008), berhadapan dengan sebaris generasi muda yang giat berkarya membuat saya cemburu dengan kesempatan yang mereka gunakan sedari awal. Namun, bagai mengetahui kekesalan hati, Nisah Haron sendiri mengatakan bahawa tidak semua penulis menulis di usia yang awal.

Berkongsi pengalaman dan semangat dengan barisan panel merupakan sesuatu yang berharga terutama bagi adik-adik seawal usia 11 tahun yang turut menghadiri bengkel ini. Panel terdiri daripada Fahd Razy (penyair muda), Raihani Mohd Said (penyair tegar), Amiza Khusryi Yusof (penulis karya kreatif), Salina Ibrahim (novelis prolifik) dan Adibah Abdullah (penulis karya kreatif).

Turut serta memberi motivasi adalah Puan Mahaya selaku Ketua Satu PEN dan Syarifah Salha yang merupakan penulis muda angkatan baharu Negeri Sembilan.

Banyak perkara yang ingin saya kongsikan tetapi bukan di dalam entri ini. Hakikatnya, menulis sesuatu terapi pemikiran yang indah dan memberi banyak manfaat. Berdampingan dengan orang yang benar (penulis berdamping dengan penulis) akan memberi kelebihan berlipat ganda.

Saya perlukan semangat seperti ini. Perbincangan dan perkongsian rasa dengan kawan-kawan penulis. Mencerna idea melalui peristiwa yang sentiasa berlaku di sekeliling kita memberi ganjaran yang bergunung- ganang. Antara hendak dengan tidak melakukannya, menembusi tembok alasan, itu yang setiap individu harus putuskan sendiri.

Tahniah Umbara Sastera 2. Maklumat lengkap dan berkesan sila ke blog Nisah Haron dan Amiza Khusyri.

Advertisements