Amin itu maknanya AMANAH. Iman pula bermakna KEPERCAYAAN. Kedua-duanya saling berkaitan kan?

Malam tadi saya menghadiri Anugerah Media Islam Negara (AMIN), yang baru memasuki tahun kedua penganjurannya. Bertempat di Dewan Planeri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sebuah Dewan yang besar, dengan kemudahan sistem bunyi dan lampu yang memukau. Memang sesuai dengan anugerah sebesar itu.

“Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat” – sabda Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, media sebagai satu medium yang sangat berkesan pada waktu ini diharap dapat memainkan peranan yang besar terutama dalam menyebar dakwah Islamiah kepada masyarakat.

Kepercayaan masyarakat dan kuasa yang ada pada media serta pengamalnya, harus digunakan sebaiknya dalam mempertahan keISLAMan di Malaysia mahupun di dunia.

Media Islam juga mampu menjadi penangkis yang baik dalam menangani serangan media dari barat yang kebanyakannya menyiarkan propaganda anti-islam.

Namun, yang menjadi persoalan, mampukah Malaysia sebagai sebuah negara Islam mengimarahkan dunia media dengan dakwah Islamiah yang sebenar-benarnya?

Malam itu, saya kagum. 4 anugerah disediakan bagi mereka yang benar-benar dedikasi dalam ‘menyeru kebaikan dan memaling kemungkaran’ dalam masyarakat, serta 2 anugerah khas.

Anugerah Penerbitan Radio, Televisyen, Media Cetak dan Penerbitan Drama berunsur Islam diberi kepada pengamal media dan pemilik media di negara ini. Usaha mereka harus diberi ganjaran dan AMIN adalah hadiah terbaik buat mereka yang berusaha.

Manakala dua anugerah lagi iaitu anugerah Laman Web berunsur Islam terbaik dan Anugerah Perdana Media Islam turut mengisi ruang pemilikan media Islam.

Malangnya, malam itu terdapat beberapa insan seni yang tidak memahami konsep media Islam yang sebenarnya.

Fahrin dan Shamsul (ghau-ghau) mengacarakan majlis dengan baik. Namun, mereka atau pihak penganjur yang menyediakan skrip harus lebih peka dengan majlis tersebut. Jenaka yang menyulami skrip pengacaraan mereka yang kadangkala boleh menyinggung sensitiviti agama boleh digantikan dengan unsur-unsur lain yang boleh membangkitkan rasa semangat dan memandang tinggi peranan media Islam.

Saya berpendapat jenaka sebegitu tidak perlu diselitkan. Ia seperti tidak mengambil kira nilai bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran sekaligus bahasa syurga. Mungkin jenaka seperti ini dianggap penyeri majlis. Tetapi tidak bagi saya dan segelintir penonton terutama adik-adik dari sekolah agama yang sekali sekala mengerutkan dahi dan memandang sesama sendiri mencari di mana lawaknya sebutan arab yang mereka cuba ‘jenaka’kan.

Siti Nurhaliza sebagai penyampai anugerah dan membuat persembahan, mungkin boleh memikirkan cara menutup sedikit rambut dan lehernya yang terdedah malam tadi. Islam itu Indah. Menyuruh kita, kaum hawa menutup aurat sebaiknya untuk kebaikan diri kita sendiri dan masyarakat sekeliling.

Siti sebagai idola masyarakat tidak mengira bangsa dan peringkat umur, boleh memainkan peranan yang lebih baik dalam mem’baikkan’ pandangan masyarakat terhadap golongan artis yang sejak akhir-akhir ini dilihat sebagai salah satu perosak budaya dan agama.

Begitu juga dengan Eja yang saya anggap tidak boleh diangkat sebagai pemenang pelakon drama TV wanita berunsur Islam kerana latarbelakangnya yang tidak bertudung. Mengapa saya menekankan aspek ini? Kerana untuk memberi anugerah kepada seseorang, biarlah benar-benar bertepatan dengan konsep yang dipegang. Jika konsepnya Islam, harus dipegang selayaknya sebagai pengamal Islam yang sebenar-sebenarnya. Islam bukan sekadar pada nama atau perkataan yang tertancap di dalam kad pengenalan.

Siti sangat cantik malam itu. Begitu juga Eja (Siti Sharizah) yang berselendang kepala malam itu yang memenangi anugerah pelakon drama berunsur Islam TV wanita terbaik mengalahkan Wardina dan Datuk Sarimah.

Malangnya kamera saya kehabisan bateri [suatu ketidakwajaran bagi seorang jurugambar kerana tidak memeriksa kondisi kameranya].

Selain itu, saya kira penganjuran media Islam ini harus dipromosi sebaiknya terutama untuk mengelak ketiadaan pencalonan bagi sesetengah kategori anugerah seperti yang berlaku malam tadi.

Dan seakhirnya, tahniah atas persembahan yang menarik malam tadi terutama nyanyian nasyid dari kumpulan Rabbani, Nasir Wahab, MOHRAM, Aris Ariwatan, Siti Fairuz dan ramai lagi.

Selepas ini, diharap pelaksanaan majlis ini mahupun majlis berunsur Islam yang lain dilaksanakan sebaiknya. Jika menyebut Islam, pastilah segala-galanya harus berlandaskan Islam. Memang kita sebagai manusia biasa sering membuat silap. Namun, haruskan alasan itu kita ambil untuk melakukan kesilapan yang sama berulang kali?