Kerana isu ini, saya terlupa tentang encik D80 saya, cik Apple dan beberapa buku baru yang masih kesejukan kerana berbogel. “Liwat”, escapisme yang berbaloi untuk lupakan hal-hal lain.

Seperti biasa, masa kini, blog menjadi wadah terbaik dalam menyebar, mencungkil, menyiasat, memapar dan menggembar-gemburkan isu-isu semasa negara terutama yang berkaitan politik.

Buktinya, lihat sahaja dua tiga hari ini, laman utama (versi tempatan) wordpress diungguli dengan entri tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Saya masih membaca dan membaca. Sedikit penilaian dan sedikit pendapat belum tentu mampu mengubah persepsi orang lain. Tapi saya percaya, kes kali ini bukan mudah seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Percayalah, dengan kuasa yang semakin kuat ada pada rakyat, kes ini akan menjadi lebih rumit jika tidak diselesaikan dengan baik dan suci.

Maka secara mudahnya, saya terus membaca. Bukan kerana ia isu semasa yang boleh menyelewengkan fikiran saya dari memikirkan hal-hal kamera dan macbook yang belum saya terokai. Tetapi isu DSAI melibatkan percaturan antara kemanusiaan, moraliti dan politik.

Hasilnya ataupun kesudahannya yang bagaimana yang bakal dipaparkan kepada masyarakat secara umumnya dan generasi pelapis secara khasnya.

Memang benar, isu ini bagai fenomena. Seperti isu-isu lain yang bakal datang dan pergi. Bezanya, apa yang kita dapat dari fenomena itu? Serdak yang tidak memberi apa-apa kesan atau nilai yang memanusiakan diri sendiri.

Mudah kan? Ikut sahaja percaturan kemanusiaan dan moraliti yang pernah berlaku sebelum ini.

Begitu mudah sebagaimana mudahnya menyelesaikan masalah pengangguran dengan menuturkan kata;

“Itulah, lain kali baca NST, senang dapat kerja!”.