Duit bukan segalanya. Tapi dengan duit kita mampu ubah segalanya! Mungkin…

Saya pernah menegaskan kepada seseorang bahawa duit bukan segalanya. Bukan segalanya, terutama bagi orang-orang yang mementingkan nilai. Mungkin juga seperti sasterawan atau karyawan. Mungkin juga seperti sukarelawan yang tidak begitu kisah tentang duit atau kekayaan.

Ramai juga yang cuba mendekati saya untuk memperkenalkan perniagaan yang boleh menjana wang sampingan. Malah perniagaan yang diceburi boleh menjadikan kita meninggalkan kerja makan gaji.

Saya tidak kata ia salah. Malah Islam juga mengalakkan kita menceburi bidang perniagaan. Bukankah 9/10 punca pendapatan ialah daripada berniaga? [kata-kata orang MLM yang cuba menjerat saya]

Namun tidak semua mahu kaya. Percayalah. Ada orang yang tidak mahu duit yang banyak. Orang itu hanya mahu bahagia dan hati yang senang. Sudah memadai untuk hidup yang hanya sekali.

Itu juga menjadi pegangan hidup saya. Dahulu.

Hakikatnya pegangan hidup saya mula goyah tatkala tersepit di dalam dunia globalisasi ini. Segalanya wang.

Saya mahu kaya. Ya, saya mahu kaya.Tidak pasti bagaimana caranya.

Saya mahu jadi kaya untuk menjadi penaja kepada seminar tentang etika, adab, budaya dan tamadun manusia. Ya. Seminar yang ditaja oleh jutawan Bayan adalah percuma terutama kepada pemimpin-pemimpin negara.

Saya mahu jadi kaya untuk menaja rumah-rumah kebajikan dan rumah anak yatim. Tanpa perlu mereka menjual barangan atau produk dengan nama ihsan dari orang ramai.

Saya mahu jadi kaya untuk menaja rancangan berbentuk keagamaan. Oh ya, saya mahu menaja berjuta-juta kepada rancangan “Jangan Lupa Ayat suci Al-Quran” demi bertarung dengan rancangan “Jangan Lupa Lirik”.

Saya mahu jadi kaya untuk membuka sebuat pusat pemulihan akhlak untuk artis-artis di Malaysia yang dikatakan penyumbang terbesar keruntuhan akhlak masyarakat Malaysia.

Saya mahu jadi kaya untuk membuka seberapa banyak outlet untuk muslim dan muslimah. Produk makanan, pakaian dan segala-galanya harus dipelihara nilai halal haramnya. Kerana tidak menjaga pemakanan, orang Islam hari ini kebanyakannya jadi ‘biul’.

Saya mahu jadi kaya untuk hasilkan filem-filem yang menolak sama sekali unsur liberalisme dan pluralisme yang selama ini diaplikasi dalam filem-filem di Malaysia.

Saya mahu jadi kaya! [dan berilmu]

Tuhan, murahkanlah rezeki hambaMu ini. Amin.