Pagi ini, suara khairil Rasyid yang biasanya hadir bersama suara Puan KE dan Encik SY, didengari secara solo di Sinar Fm. Dan itu lebih baik kan?

Khairil tanya pendengar Sinar fm, sama ada sempat atau tidak mengisi minyak dengan harga lama semalam? Ramai yang kata sempat. Dan ada juga yang tidak sempat.

Apa bezanya sempat atau tidak? Minyak merupakan satu keperluan kepada mereka yang mempunyai kenderaan persendirian. Hendak atau tidak, akan berhadapan juga dengan situasi harga minyak yang baru kan?

KOMA.

Malam tadi berita di televisyen memaparkan tajuk kecil yang jika dibaca dengan kuat akan berbunyi begini “Berkuatkuasa tengah malam ini”.

Dan huraiannya, harga petrol naik RM 0.78 dan diesel RM 1 seliter. Menjadikan harga baru petrol menjadi RM 2.70 dan diesel RM 2.58 seliter.

Berita itu tidak menyentuh hati saya kerana pakaian Norazlina A’ala, maksud saya tudungnya, sangat cantik. Warna hijau.

Selepas itu ada Pak Lah kat televisyen. Cakap pasal subsidi, bantuan kerajaan, bla…bla…bla…

Saya jenguk ke luar tingkap. Melihat keadaan stesen minyak yang berada lebih kurang satu kilometer dari tingkap rumah saya.

Sesak!

Saya tidak terkesan juga. Mungkin kerana saya tidak akan membeli petrol kerana saya tidak punya kereta pada masa ini.

KOMA.

Pagi ini, tiba-tiba otak saya menerawang kembali tentang berita malam tadi. Ini semua gara-gara saya harus membayar RM2 kepada encik bas untuk perjalanan ke pejabat yang sebelum ini hanya bernilai RM1.50.

Dan saya memikirkan kemungkinan barang-barang atau perkhidmatan yang bakal naik berikutan kenaikan harga minyak ini.

Aduhai!