Menunggumu…bagai tidur beralaskan serpihan kaca yang berderai

Menunggu, menghitung hari, detik demi detik…

Tidak ramai yang suka menunggu. Adabnya, jika kita berjanji untuk bertemu dengan seseorang, jangan biarkan orang itu menunggu. Adabnya juga, apabila menuntut ilmu, jangan sampai guru menunggu kita. Biar kita yang menunggu sang guru.

Menunggu bukanlah sesuatu perkara yang diminati ramai. Malahan terdapat ungkapan klasik yang berbunyi, ” menunggu buah tak gugur”, “tunggulah, sehingga kucing bertanduk” dan pelbagai lagi. Itu semua menunjukkan situasi bahawa proses menunggu tu amat menyiksakan.

Tetapi, orang yang sedang dilamun cinta sanggup menunggu. Menunggu itu indah katanya. Semakin lama menunggu,  dunia cinta semakin indah dirasakannya.

Saya tidak suka menunggu. Bagi saya masa itu emas. Pernah, banyak kali saya bergaduh dengan orang lain semata-mata mereka tidak menghargai masa dengan melewat-lewatkan sesuatu dan paling memualkan bila perbuatan itu menyebabkan saya juga terpaksa menunggu.

Saya benci menunggu. Pernah juga saya bergaduh besar dengan kawan semata-mata dia lewat 5 minit. Hanya lima minit.

Masa amat berharga kan? Teringat lagu 25 minutes nyanyian Micheal Learns to Rock. 25 minit yang terlewat membuatkan sang lelaki kehilangan wanitanya untuk selama-lamanya kerana 25 minit yang lalu wanita itu telah melafaz ikrar dengan lelaki lain.

Boy I missed your kisses all the time but this is
Twenty five minutes too late
Though you travelled so far boy I’m sorry you are
Twenty five minutes too late…

Itu dahulu. Sekarang…

Saya tidak kisah menunggu. Tuhan sengaja beri saya masa untuk menunggu.

Dahulu, proses menunggu saya dikuasai dengan perasaan amarah, mencarut, membaling helmet, menyepak pasu bunga di tepi asrama, marah pada burung, marah pada semut…

Kini, saya isi proses menunggu dengan membaca buku, memerhati sekeliling, menyanyi-nyanyi kecil, melukis sesuatu di atas tanah, bersolek, menggoyang-goyangkan kaki, mengambil gambar, dan paling tidak terlupakan, mengisi situasi menunggu dengan berzikir.

Dan ia berkesan. Biarlah orang yang ditunggu itu dengan kerjanya. Dan saya yang menunggu dengan kerja saya. Saya anggap setiap masa tidak perlu dibazirkan. Walaupun agenda utama telah terlewat atau terganggu, saya masih menghargai setiap waktu saya yang ada. Bagus kan?

Aduhai, menunggumu jejaka, apa yang harus saya lakukan?

Menguruskan badan? Atau melihat kembali kotak yang telah saya janjikan akan diisi dengan cinta?

Advertisements