Ada rasa semacam semasa membaca buku ini di dalam bas. Bukan kerana Indera Bumi yang menggetar dan berdengung…

Indera Bumi hanya bergetar dan berdengung di dalam novel ini, Takluk Jagat Bahagian 1, Bisikan Ariasha karya Zaki Zainol. Lagipun, jika benar Indera Bumi itu wujud, ia pasti berdengung manja, menandakan ia berdekatan dengan saya, orang yang baik [ha ha ha].

Novel Fiksyen Sains dan Fantasi ini diperkenalkan oleh saudara vovin ketika saya berlegar-legar di dalam gerai PTS semasa Karnival Buku Kuala Lumpur 2008 yang lepas.

Semasa saya masih membaca novel ini, dikhabarkan di dalam blog penulis ini, bahawa novel Takluk Jagat Bahagian II – Amukan Indera Bumi telah pun di terbitkan.

Sebenarnya saya tidak yakin untuk menghabiskan bacaan novel ini memandangkan novel ini katanya berkisar tentang fantasi purba, pertarungan, alam mistik, alam persilatan, dendam dan sebagainya. Namun, setelah membaca babak pertama, saya terkagum. Jadual harian menjadi terganggu kerana sibuk mencari ruang untuk melangsaikan bacaan.

Ini novel sai-fai kedua saya selepas saya membaca Opera Angkasa. Sudah pasti pengalaman membaca novel begini untuk saya masih kurang.

Saya terkagum kerana bahasa yang digunakan mudah difahami dan dapat memberi imaginasi yang jelas dalam fikiran. Unsur-unsur pemerian terhadap sesuatu misalnya, jurus silat dan hikmat yang digunakan oleh watak hero amat membantu pembaca untuk memahami jalan cerita. Penggunaan dialog yang mudah dan selitan unsur-unsur komedi sedikit sebanyak dapat meringankan perasaan yang cemas dengan sesi pertarungan di dalam novel ini.

Seperti Opera Angkasa, saya juga dapat menggambarkan beberapa adegan filem Lord of The Ring di dalam novel ini terutama dengan kewujudan keris takluk jagat dan Indera Bumi yang menjadi rebutan dan juga kehadiran alam bunian. Namun, itu tidak bermakna idea penulis tercemar. Saya sukakan ideanya dalam mengemukakan persoalan dendam, silaturrahim, ilmu persilatan dan persepsi watak hero tentang kehidupan. Sangat Melayu!

kesinambungan antara babak dan watak-watak yang wujud juga dipaparkan dengan baik. Pendek kata, membaca novel ini seolah-olah saya turut mengembara bersama Bayu Adi Jata dalam mencari keris Takluk Jagat di samping mencari keserasian dengan Indera Bumi. Dan, peta kawasan pengembaraan yang dilampirkan amat membantu.

Turut merasai segala babak yang dipaparkan dengan kemunculan watak-watak yang mempunyai perwatakan tersendiri yang sangat kukuh. Walaupun banyak watak yang ditampilkan dengan nama yang agak panjang, saya tidak mengalami kesukaran untuk membezakannya antara satu sama lain. Puteri Ariasha Cinta Castra, Zilastra Dunia Kencana, Cindrasari Kemala Dewi dan banyak lagi yang memiliki nama yang panjang tetapi indah. Setiap watak berdiri dengan perwatakan tersendiri.

Jika novel ini bukan sebuah novel, ia pasti menjadi sebuah komik yang menarik. Jika novel ini bukan sebuah komik, saya pasti ia boleh diadaptasi sebagai sebuah drama atau filem.

Saya suka novel ini! Untuk ulasan yang lebih baik, baca blog ini.

Advertisements