Semalam, mati-mati saya kata memang salah kereta ketika sebatang tiang di tempat meletak kereta jatuh dan hampir menyebabkan saya gagal ujian memandu!

Semalam, saya menangis.

Ujian QTI yang dijalankan oleh guru bertauliah Sekolah Memandu Metro hampir gagal disebabkan oleh kereta yang diberi pada saya untuk menjalani ujian itu sangat buruk dan enjinnya cepat mati.

Sepanjang menjalani latihan memandu saya tidak pernah melanggar atau ‘mencium’ mana-mana tiang yang dijadikan sempadan dan had untuk meletak kereta (ujian parking).

Tapi semalam, sebatang tiang jatuh.

Semalam, semasa ujipandu di atas jalan raya [yang baru bermula kira-kira dua minit), saya berkata kepada penguji QTI tersebut bahawa saya lupa jalan yang harus diikuti, jadi, bolehkah dia tunjukkan jalannya.

Dia tanya, saya dari mana, dan saya jawab saya dari KL datang ke Lenggeng semata-mata mahu ujian QTI dan cikgu saya kata ujian QTI di Lenggeng lebih selesa kerana jalan raya yang lancar.

Sehabis saya berkata demikian, dia menyuruh saya memberi isyarat ke kiri, berhenti di tepi jalan dan buat pusingan balik.

Patah balik ke pusat memandu Lenggeng.

Saya biru, kelabu dan sedikit berasap. Saya syak saya gagal dengan tiang yang jatuh dan permintaan untuk menunjukkan jalan tadi.

Sampai di pusat memandu, penguji QTI tersebut meminta tandatangan saya pada borang, menyuruh saya keluar dari kereta dan meninggalkan saya terpinga-pinga.

Berjalan menuju ke kereta cikgu dengan sedikit hati yang membengkak. saya menangis dan menyumpah penguji QTI tersebut. Cikgu saya hanya senyum.

Dia kata “tarian kamu pincang kerana kamu tidak tahu menari, bukan kerana lantai itu senget”.

Saya cabar cikgu untuk menguji pemanduan saya.

Saya ambil kunci, bawa kereta cikgu (yang baru).

Melalui ujian bukit. Kereta tidak mengundur.

Melalui ujian meletak kereta. Tiang tidak tersentuh.

Melalui ujian tiga penjuru. Lulus.

Cikgu hanya senyum melihat keangkuhan saya. Kemudian dia datang pada saya kata ujian QTI memang akan diberi kereta yang sedikit uzur. Kerana penguji bukan mahu melihat skil kamu, tetapi cara kamu menyelesaikan masalah pemanduan kamu.

“Dan ujian QTI kamu lulus walaupun kamu tidak dipandu uji di atas jalan rasa dalam tempoh yang ditetapkan. Semasa di bukit sebelum ke jalan raya besar tadi, kamu telah menunjukkan kemampuan kamu, jadi buat apa dia membawa kamu lebih jauh. Sebab itulah dia menyuruh kamu berhenti disimpang hadapan walaupun perjalanan kamu sebenarnya masih jauh”.

Saya diam. Senyum masih tiada. Masih marah pada penguji QTI yang bermuka poyo tadi. Masih mencari alasan untuk memuliakan diri sendiri.

Tuhan sengaja mahu memahamkan saya dengan tarian pincang dan lantai saya yang semakin senget. Aduhai hati….Insaflah.

*ujian QTI dilakukan sebelum ujian JPJ.