Jika ingin lulus ujian, buka buku, belajar.

Inilah pesan Tuk Bayan Tula kepada Flo dan Mahar yang terlalu fanatik dengan mistik dan keajaiban. Sudah pasti pesan itu tidak terjangkakan oleh saya yang menganggap Tuk Bayan Tula memang mistik dan jauh dari realiti kemanusiaan. Andrea Hirata berjaya memperdaya pembaca seperti saya.

Dan saya tertawa sendiri. Untuk kesekian kalinya dalam proses menyudahkan bacaan novel Laskar Pelangi [yang sudah lunyai di tangan pembaca novel di luar sana].

Laskar Pelangi, karya Andrea Hirata merupakan novel terbitan Pts Litera, merupakan salah satu novel dari luar [Indonesia] yang mendapat sambutan hangat pembaca di Malaysia.

Membaca komen tentang buku ini di blog Hanakirana suatu ketika dahulu sudah membuatkan hati saya bergetar untuk memilikinya. Percayalah, getaran untuk memiliki sesuatu dalam hidup saya bukan sesuatu yang biasa.

Itu lumrah kan? Seperti cinta pandang pertama yang kadangkala hadir dalam pelbagai rupa dan tetapi bukan sekali sahaja datangnya. Berkali-kali, sehingga kita sendiri letih.

Pagi itu, iaitu beberapa minggu yang lepas, saya mengambil keputusan memilih buku ini untuk menemani perjalanan saya ke tempat kerja. membaca buku di dalam bas, apatah lagi buku ini memang mencabar jiwa.

Goncangan yang hebat, pergerakan tidak seimbang, muzik yang menggegar gegendang. Amat payah untuk membaca dalam keadaan itu di dalam sebuah bas yang kadangkala berbau macam-macam. Namun, kepayahan itu bagaikan membawa saya mengembara bersama anggota Laskar Pelangi dalam menelusuri kehidupan mereka sejak kecil.

Walaupun agak membosankan membaca karya kreatif yang dipenuhi dengan ilmu pengetahuan asas tentang sesuatu, saya gagahi juga dan memujuk hati bahawa apa yang penulis sumbatkan itu hanya untuk pengetahuan saya dan pembaca lain yang mungkin tidak tahu mengenainya. Sekali baca, bagaikan sedang mengulangkaji ensaiklopedia sains yang memuatkan perihal alam semulajadi dengan terperinci.

Pemerian tentang hal-hal yang perlu dikesampingkan menjadikan novel ini begitu tebal dan penuh dengan suatu kembara yang lengkap. Kita dapat membayangkan setiap inci peristiwa, perkara, dan apa-apa sahaja – tumbuhan, suasana persekitaran, mimik muka, dan sebagainya.

Seakhirnya, saya mengerti mengapa ramai yang jatuh cinta dengan novel ini.

Kemanusiaan yang digambarkan melalui watak anggota Laskar pelangi dan manusia-manusia disekeliling mereka sungguh tajam dan bermakna. Ikal, Samson, Sahara, A Kiong, Mahar, Flo, Trapani, Lintang, Kucai, Syahadan, Pak Harfan, Bu Muslimah, Sekolah Muhammadiyah, dan latar belakang kanak-kanak kampung ini memungkinkan saya membuka satu ruang baru dalam imaginasi, bahawa kehidupan sebegitu memang wujud.

kemunculan watak sampingan seperti Bodenga, Burung Pelintang Pulau, Tuk Bayan Tula, A Ling, dan lain-lain bukan sebagai pelengkap cerita tetapi sebagai pendorong dan penyumbang dalam memastikan watak dihitung dengan sebaiknya. Setiap persepsi mereka, dan juga setiap ekspresi yang terwujud dalam jiwa mereka.

Kesudahan yang mencengkam nilai kemanusiaan membuatkan saya melabel novel ini sebagai novel kemanusiaan yang baik. Seolah-olah membaca semula karya penulis-penulis Malaysia era 50an dan 60an yang memang kaya dengan nilai kemanusiaan dan pertentangan antara manusia dan pola perubahan disekelilingnya.

*Terima kasih Hana.