Dulu, zaman ibu, makan ubi je. Kami boleh hidup pun. dengan akhlak yang terlebih baik dari zaman kamu. Itu kata ibu.

Wah, sedapnya ubi ni. Makan hari-hari pun tak apa. Kata kami adik beradik.

Dan kini kami tahu, tuhan memang mendengar kata-kata hambaNya. Adik telefon saya, dia mengingatkan saya pada doa kami dahulu supaya jadikan ubi makanan harian kami.

Dulu, masa saya kecil, ibu rebus ubi. Untuk sarapan pagi kami. Ubi panas yang lembut itu dicecah dengan sambal ikan masin atau kelapa parut manis. Kami makan dengan berselera.

Kadangkala, ibu kehabisan idea untuk memilih menu apa untuk makan malam. Jadi ibu cabut ubi pada sebelah petangnya. Ibu rebus ubi bersama perencah yang ibu selalu gunakan untuk memasak sayur goreng [ikan bilis, bawang putih dan bawang merah]. Bezanya ibu campurkan sedikit kunyit supaya warnanya cantik dan rasanya lebih sedap. Ubi itu direbus sehingga kering airnya. Dan kami sekeluarga makan sambil menonton televisyen.

Untuk menu itu, saya tidak tahu nama masakannya.

Kadangkala juga ubi yang kami tanam di belakang rumah menghasilkan kuih lepat ubi yang sedap. Sudah pastilah hasil air tangan ibu.

Jika bermain pondok-pondok, saya dan kawan-kawan suka mencabut pokok ubi [dengan gaya pencuri, sebab rasanya lebih adventure]. Kami bersihkan ubi itu dan bakar dengan menggunakan bara api. Sungguh sedap.

Bila ibu tanya siapa yang cabut pokok ubi ibu bagai disondol babi hutan, kami hanya diam sambil menyengih. Dan gigi kami yang kehitam-hitaman akibat ubi yang sedikit hangus pastinya memberi jawapan mutlak pada ibu.

Bila menjelang bulan puasa, ubi menjadi bahan makanan yang agak popular. Ibu mencabut semua pokok ubinya dan kami bergotong royong membuat kerepek ubi manis dan pedas untuk santapan tetamu menjelang hari raya kelak.

Ubi yang mengenyangkan kami masa kecil dahulu merupakan ubi yang ibu tanam sendiri di belakang rumah kami yang sekangkang kera. Kini, tanah di sekeliling rumah kami sudah kering. Jika kami tanam pokok ubi, ubi yang terlahir kecil-kecil dan tidak begitu manis.

Saya ingat dan fikir-fikir, cukup sedikit menu yang boleh dihasilkan dari ubi. Atau mungkin ibu yang kurang kreatif mempelbagaikan masakan berasaskan ubi. Dan saya juga tidak bertanya pada ibu tentang kepelbagaian masakan berasaskan ubi semasa zaman jepun dahulu.

Memikirkan masalah kekurangan beras di Malaysia dan juga dunia, saya tertanya -tanya dalam hati secara positif. Mungkinkah selepas ini encik ubi akan mengambil alih peranan encik beras sambil dibantu encik keledek, kentang dan yang seangkatan dengannya?

Dan secara realitinya, pasti encik ubi akan menjadi terkenal dengan kepelbagaian menu yang terhasil daripadanya.

Bayangkan….jika ubi menggantikan beras.

Ubi goreng, ubi goreng ikan masin, ubi goreng pattaya, ubi goreng paprik, bubur ubi campur, ubi beriyani, ubi ayam (nasi ayam), ubi minyak (nasi minyak), ubi lambuk dan banyak lagi.

Menarik juga kan? Sekurang-kurangnya ubi masih punya pucuk yang boleh digulai dan dibuat ulam. Pokok padi apa ada?

Pokok ubi juga mudah ditanam, dijaga dan mudah membiak. Pokok padi memerlukan kawasan yang luas, pengairan yang baik, dan penanaman yang teliti serta penjagaan yang konsisten.

[ok, setakat ini sahaja saya boleh berfikiran positif tentang saranan ‘mereka’ untuk menggantikan beras dengan ubi keledek]

Untuk bacaan lanjut :

Cadangan makan ubi ganti nasi sindir pemimpin UNMO

Setiap kali barang naik, nak salahkan orang

Pengajaran isu beras

Inflasi makanan : Nargis yang melanda dunia

Advertisements