Sejarah, jika diimbas menjadi sakit yang menyakitkan.

Dulu, abah garang. Saya benci dia. Sangat benci.

Saya benci bila abah tidak izinkan saya menyertai pasukan hoki sekolah. Padahal abah tahu saya memang minat hoki satu ketika dahulu. Saya benci apabila abah marah-marah ketika saya balik lewat walaupun abah tahu saya aktif dengan persatuan dan abah juga tahu yang saya merupakan pustakawan sekolah sejak darjah enam sehingga tingkatan enam. Jadi saya doa agar abah mati cepat. Supaya saya boleh main hoki dan berada di perpustakaan sehingga malam.

Saya benci bila abah datang ke tapak perkhemahan semata-mata untuk pastikan saya berada di situ dan tidak bercampur dengan pelajar lelaki. Jadi saya doa agar tuhan hantar abah ke tempat yang jauh. Supaya saya boleh pergi ke mana-mana sahaja tanpa pengawasan daripada abah.

Saya benci bila abah bersusah menemani saya ke bandar. Sentiasa berada di belakang saya, mengekori saya walaupun semasa saya mahu membeli baju dalam dan seluar dalam. Jadi saya berdoa agar kaki abah patah, dan tidak memalukan saya dengan menemani saya ke bandar.

Saya benci bila abah piat telinga saya ketika saya keluar rumah, tanpa memakai tudung dan berlumba motor dengan kawan-kawan di kampung.

Saya benci bila abah lempang muka saya bila saya langgar lari anak orang walaupun abah tahu budak yang kena langgar tu yang salah kerana bermain galah panjang di tengah jalan. Saya mohon agar tuhan patahkan tangan abah yang melempang muka saya ketika itu.

Saya benci apabila abah berhentikan pekerjanya bila mendapat tahu saya bercinta dengan lelaki itu. Tuhan, tolonglah, ambil nyawa abah cepat-cepat kerana membunuh cinta saya pada lelaki itu.

Saya benci bila abah buat tidak tahu semasa saya mahu memohon ke tingkatan enam. Abah kata saya hanya membuang duit dengan menyambung belajar. Tuhan, kenapa abah tidak percayakan kemampuan saya? Ya, saya tahu saya kerap mengecewakan abah dalam peperiksaan sebelum ini. Tuhan, saya benci abah!

Saya benci bila abah tutup televisyen semasa kami sedang menonton cerita Cina atau Hindustan sepanjang hari. Dan paling benci bila abah kata mahu pecahkan televisyen itu jika kami masih leka. Jadi saya berdoa agar tuhan butakan mata abah.

Itu dahulu.

Kini saya BENCI. Sangat Benci pada diri sendiri kerana tidak cuba memahami abah dan tindakan-tindakannya suatu ketika dulu. Saya benci diri sendiri kerana suatu waktu dahulu saya pernah berdoa;

” Tuhan, aku benci dengan abah. Tolong pendekkan umur abah supaya dia tidak menyeksa dan menyekat kebebasan aku lagi. Patahkan kaki abah agar dia tidak perlu mengekori ke mana aku pergi. Butakan matanya agar dia tidak nampak aku keluar rumah tanpa bertudung dan tidak nampak aku bercinta dengan pekerjanya.”

Semalam, abah datang ke rumah saya. Abah kata tak larat jalan jauh-jauh. Kaki abah dah tak sihat. Saya menangis. Saya mahu abah sihat. Dalam bilik, ketika abah berehat di ruang tamu sambil menonton cerita P. Ramlee, saya berdoa;

“Tuhan, jangan ambil nyawa abah seawal ini. Tuhan, Aku tahu Kau maha sempurna, lupakan permintaan aku yang dulu-dulu. Tuhan, terangkan matanya supaya dia boleh lihat anaknya ini berjaya dan menggembirakan hatinya dengan senyuman dan akhlak yang paling baik yang pernah dia ajarkan semasa aku kecil dahulu.”

Air mata saya tidak mahu berhenti.

“Tuhan, sembuhkan kaki abah agar dia boleh mengikut ke mana anaknya ini pergi. Menemani tiap langkah anaknya. Menasihati anaknya di setiap kejatuhan dan kelukaan sepanjang jalan yang dilalui”

“Tuhan, kuatkan daya ingatan abah supaya dia sentiasa ingat bahawa aku adalah anaknya yang masih memerlukan renungan matanya, kekuatan tangannya untuk memimpinku dan kekuatan kakinya untuk menemani langkahku”

“Tuhan, jangan enggan mendengar doaku kali ini. Ini adalah doa yang betul-betul. Tuhan, padam semua doaku untuk abah semasa umurku masih hingusan, kerana pada waktu itu aku sangat dungu dalam menilai kasih sayang abah”

*Entri ini sebenarnya untuk hari bapa. Tapi semalam saya pilu melihat abah yang semakin uzur di mamah usia. Semoga abah dan emak panjang umur. Amin…

Advertisements